AYAHANDA drama bersiri istimewa inspirasi daripada novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka karya Allahyarham Azizi Hj Abdullah A.M.N berjaya mencapai 4 juta penonton di episod akhir yang bersiaran pada 31 Julai lalu di TV3.
Gandingan mantap antara Jalil Hamid dan Fauziah Ahmad Daud memberikan sentuhan magis pada watak suami isteri, Haji Abdullah dan Hajah Noriah yang berhadapan pelbagai konflik dengan anak-anak mereka iaitu Halimah (Noorkhiriah), Ramli (Shahz Jaszle), Ahmad (Hairi Safwan) dan Aziz (Fikry Ibrahim).
Jalan cerita yang dipaparkan juga membuatkan penonton meruntun jiwa kerana kebanyakan orang sedang merindui orang tua dan ahli keluarga yang berjauhan dalam keadaan pandemik Covid-19.
Karya sastera yang lazimnya ditampilkan dalam bentuk telefilem dipilih untuk terbitan drama bersiri telah memberikan lebih ruang kepada pengarah, penulis skrip dan para pelakon handalan untuk berkarya secara kreatif serta menzahirkan perjalanan kisah hidup Haji Abdullah dengan lebih terperinci dan sempurna.
TV3 mengangkat novel Ayahanda ke medium lebih popular supaya lebih ramai penonton boleh menghayati hasil karya agung tempatan.
Allahyarham Azizi Hj Abdullah merupakan penulis tersohor, penerima Anugerah S.E.A Write Awards 1988, dikurnia pingat Ahli Mangku Negara oleh Yang Dipertuan Agong dan Allahyarham juga merupakan penerima tujuh kali Anugerah Hadiah Karya Sastera.
Naskhah Allahyarham ini bertemakan kekeluargaan dan kasih sayang seorang ayah kepada anak-anak serta kesetiaannya terhadap agama. Walaupun novel ini merupakan terbitan tahun 1997, namun tema dan jalan cerita yang dipaparkan masih dekat dengan realiti .kehidupan kita.
Penerapan nilai-nilai moral dalam kandungan cerita ini juga boleh dijadikan rujukan oleh para penonton untuk berusaha ke arah yang lebih baik terutama dalam menghargai pengorbanan dan kasih sayang ibu bapa.
Penerbit Fadzil Teh turut meluahkan kesyukuran dan berterima kasih kepada semua atas sambutan drama Ayahanda.
“Ini merupakan satu penghargaan besar buat saya dan Zeel Production kerana dapat menerbitkan naskhah hebat ini, lebih-lebih lagi karya ini nukilan asal seorang Sasterawan yang disegani, Allahyarham Azizi Hj Abdullah.
"Saya bersyukur dengan penerimaan baik, respon dan pujian daripada penonton, rakan industri dan ramai pihak yang menonton drama Ayahanda ini. Ayahanda ini naskhah yang istimewa dan ditayangkan pula pada saat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai yang menonton ikut sama merindui mak, ayah dan keluarga mereka di kampung.
“Saya juga berasa bersyukur kerana drama ini berjaya menjentik emosi penonton dan mengingatkan penonton untuk selalu menghargai ibu bapa sementara mereka masih ada. Saya sendiri menangis menonton kerana rindukan arwah mak dan ayah saya. Semoga drama ini memberi teladan yang baik buat semua.
"Saya juga ucapkan terima kasih kepada penerbit Dewan Bahasa Dan Pustaka, pengarah, penulis skrip, barisan pelakon, krew terutamanya pelakon Ogy Ahmad Daud dan abang Jalil yang menghidupkan naskhah ini serta semua pihak yang terlibat dalam drama ini.
"Semoga akan ada lebih banyak lagi adaptasi karya sastera pada masa akan datang, Insya-Allah,” ujarnya.
Ayahanda terbitan Zeel Production ini diarahkan oleh Datuk Ahmad Tamimi Siregar, nukilan skrip oleh Maizura Mohd Ederis dan Wan Mahani Wan Hassan menampilkan barisan pelakon handalan tanah air yang berwibawa dan mempunyai penghayatan tinggi sehingga menjadikan drama sastera ini mendapat sambutan hangat dalam semua lapisan masyarakat.
Naskhah ini mencatatkan 2.4 juta penonton secara purata selepas mula bersiaran pada 10 Julai lalu, setiap hari Rabu hingga Sabtu, jam 9 malam.
Kejayaan drama Ayahanda membuktikan pengolahan hasil karya sastera juga berupaya mendapat sambutan baik jika dipersembahkan dengan kemas oleh penggiat seni yang berpengalaman dan berbakat besar.
Selain itu, Ayahanda juga menjadi bualan hangat di platform media sosial dan dibanjiri dengan komen-komen positif warga net yang tersentuh hati dengan naskhah istimewa ini. Mereka yang teruja melayan drama ini tidak putus-putus memberikan kata-kata pujian kepada penerbit, pengarah, pelakon dan tenaga produksi.
[KREDIT: TV3]
0 Comments