PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin semalam berkenaan dengan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), dengan peruntukkan sebanyak RM100 Juta untuk industri seni dan kreatif negara.
Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin dengan rintihan orang-orang seni yang amat terkesan dalam tempoh Perlaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang mempunyai empat fasa keseluruhannya.
"Seniman akan memantau pelaksanaan agihan peruntukkan RM100 juta untuk penggiat seni tanah air supaya ia sampai kepada mereka yang memerlukan dan secara tidak langsung dapat meringankan beban penggiat seni yang masih tidak dibenarkan beroperasi sehingga hari ini.
"Jika dilihat semula Pelan Pemulihan Negara ini, maka industri kreatif akan kembali beroperasi pada fasa ketiga nanti setelah kes-kes jangkitan Covid-19 berkurangan bawah nilai ambang 500 kes sehari. Pada jangkaan dalam Pelan Pemulihan Negara ia sekitar bulan Oktober 2021 nanti.
"Untuk pengetahuan pihak Kerajaan, Industri kreatif sudah tidak mampu lagi bertahan sekiranya kami tidak dibenarkan beroperasi dalam bulan Julai 2021 ini, segala peruntukkan yang diberikan oleh Kerajaan dalam pakej-pakej sebelum ini tidak bermakna sekiranya kami masih tidak dibenarkan beroperasi," ujarnya.
Dalam masa sama, seniman juga menggesa agar aktiviti penggambaran dapat dibenarkan untuk kembali dijalankan.
"Seniman percaya Industri Kreatif juga adalah sektor yang penting di Malaysia, seperti mana yang umum ketahui sektor pengilangan dan pembinaan adalah penyumbang terbesar kepada kes harian Covid-19 di Malaysia setiap hari dan mereka masih dibenarkan untuk terus beroperasi.
"Jika sektor ini dibenarkan beroperasi mengapa industri kreatif tidak dibenarkan beroperasi, kami sedia mematuhi segala garis panduan dan SOP yang telah digunapakai pada PKP 2.0 yang lepas tanpa sebarang masalah.
"Untuk makluman juga, industri kreatif tidak pernah mencetuskan kluster-kluster yang melibatkan penggambaran setakat hari ini, penggiat seni sentiasa patuh kepada SOP serta garis panduan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.
"Oleh yang demikian sebagai sebuah Kerajaan yang prihatin Seniman sekali lagi mengesa agar industri kreatif dibenarkan beroperasi pada bulan Julai ini demi kelangsungan hidup warga kerja industri kreatif yang amat terkesan memandangkan 90% daripada kami adalah pekerja yang bekerja berdasarkan projek (job basis).
[KREDIT: Seniman]
0 Comments