DOKUMENTARI Islamik, Jejak Rasul menjadi teman setia rakyat Malaysia setiap kali menjelang bulan Ramadan. Menampilkan Ahmad Fedtri Yahya sebagai perantara, edisi ke 27 ini, Jejak Rasul: Ulama Pewaris Rasul membawakan kesinambungan dakwah Islamiah di Tanah Melayu seawal kurun pertama Hijrah.
Baru saja bersiaran selama dua minggu, krew produksi Jejak Rasul 2021 (JR2021) telah menerima berita baik apabila episod 6 mencapai 2.2 juta penonton semasa bersiaran pada 18 April 2021, jam 6.30 petang hingga 7 malam. (sumber: Nielsen Malaysia)
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh, JR2021 mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan sejak minggu pertama bersiaran dengan 1.2 juta penonton (episod 3) dan terkini dengan catatan 2.2 juta penonton di episod 6.
"Walaupun tidak dapat menjalankan penggambaran di Mekah dan Palestin seperti dirancang, saya kagum dengan komitmen dan dedikasi produksi JR2021 yang berusaha dan berkarya dengan kreatif dalam menyempurnakan edisi tahun ini.
"Penonton kami tetap dapat menyaksikan naratif dan videografi yang cantik ketika menjejak peninggalan sejarah Islam di Malaysia,” ujarnya.
Jejak Rasul: Ulama Pewaris Rasul yang diterbitkan bersama oleh Muhamad Amin Yusoff dan Ahmad Fedtri Yahya membawakan kesinambungan dakwah Islamiah di Tanah Melayu seawal kurun pertama Hijrah.
Sesi penggambaran yang dilakukan selama 41 hari di tujuh negeri membawa para penonton menjejak peninggalan sejarah di Malaysia.
Lokasi Tanah Melayu yang strategik menjadi laluan utama pedagang sutera menghubungkan dunia Timur dan Barat, dengan pelabuhan-pelabuhan di daerah pesisir Tanah Melayu dipercayai menjadi pintu masuk alim ulama.
Episod 6 yang bersiaran pada 18 April 2021 mencari jawapan benarkah sebuah wilayah Islam telah wujud di Melaka sebelum kehadiran Parameswara. Adakah benar Kesultanan Melaka terbentuk hasil dakwah alim ulama asing?
Episod 7 yang akan bersiaran pada Jumaat, 23 April 2021 meneruskan penggembaraan di Melaka untuk mengenalpasti pusat penyebaran Islam di Melaka pada zaman kegemilangannya. Benarkah Melaka pernah dikunjungi Wali Songo dari Jawa dan berguru dengan alim ulama di Melaka dan apakah buktinya?
Teruskan menonton Jejak Rasul: Ulama Pewaris Rasul (15 episod) tajaan Pharmaniaga Baraka dan Jabatan Muzium Malaysia, setiap hari Jumaat hingga Ahad, pukul 6.30 petang di TV3. Anda juga boleh menyaksikan siaran ulangannya di TV9 pada setiap hari Sabtu dan Ahad, pukul 10.30 malam.
(KREDIT: TV3)
0 Comments