MEMULAKAN kerjaya di dalam bidang nyanyian sejak tahun 2016, nama Wany Hasrita, 29, sudah tidak perlu diperkenalkan lagi.
Mungkin ramai yang terlepas pandang, kemunculan Wany Hasrita di dalam industri hiburan dimulakan dengan single duet Memori Berkasih dalam bahasa melayu dan Korea yang dinyanyikan bersama penyanyi berasal dari korea – Kim Dong Gyun.
Setelah single ini baru lah Wany muncul dengan single solo pertama beliau Menahan Rindu yang berjaya menempatkan nama beliau ketahap sekarang.
“Wany memang takkan lupa lagu Menahan Rindu kerana lagu ini telah merubah kehidupan Wany, dan lagu ini benar-benar berhantu.
"Sampai ke hari ini walau kemana-mana Wany buat persembahan, penonton akan minta Wany nyanyi lagu ni walaupun ada lagu lain yang popular dan kerana lagu ini Wany berada di pentas AJL 32," ujarnya.
Setelah popular secara solo, Wany terus meledak dengan lagu duet Di Sana Cinta Di Sini Rindu duet bersama Tajul Ariff.
“Lagu duet ini juga merupakan antara kenangan manis di awal kemunculan Wany dipersada seni, ramai yang cakap Wany dan tajul seolah olah mengimbau kembali zaman sewaktu Allahyarham Achik masih ada dan popular, dan Wany sangat terharu dan bersyukur kerana lagu duet itu mendapat sambutan yang juga luar biasa.
“Begitu cepat masa berjalan, Wany tak sangka rupanya Wany telah merakamkan 18 buah lagu termasuk lagu raya dan lagu duet serta sebuah lagu istimewa ciptaan Allahyarham Pak Ngah iaitu Ewah Ewah. Wany sangat teruja apabila FMC realisasikan impian Wany untuk merakamkan lagu irama Malaysia.
"Wany sangat suka nyanyikan lagu-lagu tradisional kerana lagu lagu sebegini dapat menguatkan jati diri kita sebagai bangsa Melayu,” ujarnya.
Walaupun telah meraih beberapa anugerah yang besar, namun Wany Hasrita tetap membumi dan tidak sesekali mendongak ke langit.
“Saya adalah saya. Biarpun setinggi mana pun saya terbang, Insya-Allah saya akan tetap membumi. Syukur sebab saya ada ibu yang selalu ingatkan kan saya supaya selalu bersyukur dan jangan lupa diri.
"Saya memang selalu bersama ibu, dan bagi saya ibu adalah segalanya. Salah tujuan saya melangkah ke dalam industri hiburan ini juga selain kerana minat, saya berazam untuk membahagiakan ibu.
"Sebelum saya menjadi penyanyi, Wany pernah melalui hidup susah bersama ibu, tambahan pula sewaktu ibu diberhentikan kerja, waktu tu walaupun susah Wany tengok wajah ibu tenang je dan selalu bagi Wany kekuatan.
"Dari situ lah Wany berazam Wany takkan sia siakan peluang apabila di tawarkan oleh FMC Music. Alhamulillah Wany sangat berterima kasih kepada FMC Music kerana percaya bakat Wany walaupun Ketika itu Wany bukan siapa siapa dan tidak dikenali.
“Tahun ini Wany dah tak nak fikir yang sedih sedih, Wany nak terus kan langkah dan takdir yang ALLAH aturkan ini untuk Wany terus kecapi dan kejar kebahagiaan bersama ibu dan insan insan yang Wany sayang. Dah taknak fikir yang negetif dan Wany nak terus berjaya” kata Wany.
Bercakap tentang perkembangan terkini kerjaya Wany Hasrita. Wany akan melancarkan single solo terbaru berjudul Cinta Khayalan ciptaan Farouk Razak dan Amelia AF bermula jam 8 malam esok (05Februari 2021) di semua platform digital dan muzik video di saluran youtube FMC MUSIC.
“Cinta Khayalan merupakan lagu yang paling berat dan susah untuk saya rakamkan, kerana lagu ini memerlukan emosi yang kuat selain perlu fokus pada vokal.
"Ini pertama kali saya merakamkan lagu yang memerlukan masa yang lama untuk disiapkan. Empat kali saya ke studio rakaman bagi memastikan hasil lagu ini betul-betul mencapai tahap yang dikehendaki oleh pencipta lagu ini Amelia dan Farouk.
"Memang agak mencabar kerana lagu ini sebenarnya saya rakamkan sewaktu bulan Ramadhan tahun lalu. Bayangkan strugglenya saya untuk siapkan lagu ini kerana bulan puasa sudah tentunya tenaga juga berbeza berbanding bulan lain. Namun saya sangat puas hati kerana pengorbanan saya berbaloi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan FMC Music, CF. Ho berkata, Wany meminta lagu yang mempunyai elemen OST untuk single terbaharunya itu.
"Wany datang jumpa saya dan minta FMC carikan lagu yang kuat dan berbeza dari lagu sebelumnya. Wany minta saya cari lagu yang ada vibe OST dan susah untuk dia nyanyikan.
"Saya hubungi Amelia buat demo lagu untuk Wany dan tak sangka hasilnya luar biasa.
“Sebenarnya bila lagu ini sudah siap dan kami dengar, kami juga rasa teruja dengan hasilnya. Bagi kami di FMC music, kami bangga dengan perubahan dan keberanian Wany untuk mencabar diri agar lebih maju ke depan. Dan beliau telah buktikan dalam lagu ini," ujarnya.
Wany mengakui gembira kerana mampu mencabar dirinya melakukan sesuatu yang berbeza, sekali gus memberikan kelainan dalam single nyanyianya.
“Lagu ini berat dan sangat mendalam maksudnya, saya rasa sangat happy kerana saya telah melangkah setapak ke hadapan.dan saya rasa saya telah berjaya mencabar diri saya untuk keluar dari zon yang selesa dan nyanyi lagu yang biasa saya nyanyikan.
"Jujur saya kata kan saya in love dengan lagu ini. kalau kalian tak percaya dengar dan hayati sendiri lagu ini.
"Saya mohon anda semua menjadi juri serta tidak teragak agak memberi komen tentang lagu dan cara nyanyian saya. Saya rela dikritik demi kebaikan kerjaya saya, tetapi kritik tentang lagu je tau.bukan tentang kisah peribadi," katanya.
Diharapkan lagu Cinta Khayalan ini mendapat sambutan yang luar biasa dan berjaya membawa Wany Hasrita ke pentas Anugerah Juara Lagu akan datang.
Jangan lupa tonton Muzik Video Cinta Khayalan di saluran YouTube FMC Music serta download lagu ini di seluruh platform digital.
0 Comments