MINGGU pertama tahun 2021 menyaksikan dua program baharu yang mengujakan memulakan siaran di NTV7 iaitu program bual bicara lelaki, Trio On Point atau disebut sebagai T.O.P dan Jurnal Resipi, sebuah monolog mengenai perjalanan individu di sebalik kemasyhuran sesebuah jenama restoran atau resipi.
Mula bersiaran pada 4 Januari, T.O.P menggabungkan nama-nama terkenal dalam dunia kewartawanan, penyiaran dan hiburan dalam gelanggang bual bicara secara langsung dari Studio C, Sri Pentas, setiap Isnin hingga Rabu, jam 6 petang.
Menggandingkan mantan Penolong Ketua Pengarang akhbar Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan; Penyampai Radio dan TV, Mohamad Azmeer Selamat atau AG dan Hos TV terkenal, Nazrudin Habibur Rahman, program bual bicara hal ehwal semasa ini juga akan diterajui barisan selebriti muda yang berketrampilan.
Antaranya, pelakon Akhmal Nazri, pengacara Thevanesh Rao, Justin Ang dan Mohamad Nirwan. Mereka mewakili golongan muda dan millenial yang mempunyai sudut pandang tersendiri yang lazimnya dibentuk dari maklumat yang diperolehi menerusi media sosial.
Program bual bicara selama satu jam ini akan membincangkan pelbagai isu semasa termasuk dalam bidang kemasyarakatan, kesihatan, keluarga, sukan, politik, agama serta hiburan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Khairul Anwar Salleh, program baharu Trio On Point (T.O.P) dan Jurnal Resipi dilihat amat sesuai untuk mewarnai wajah ntv7 yang kini menawarkan pelbagai rancangan menarik berbentuk majalah dan faktual.
"Jarang kita dengar tentang program bual bicara yang menampilkan pengacara lelaki sahaja. Pembaharuan ini pastinya mendapat sambutan kerana ketiga-tiga pengacara ini mempunyai latar belakang yang berbeza iaitu daripada media massa (Datuk Zaini), penyampai radio dan pengacara terkenal (AG dan Nazrudin).
“Begitu juga dengan Jurnal Resipi, program yang mengupas tentang kejayaan cef-cef terkenal dari awal pembabitan mereka dalam bidang yang diceburi sehingga mereka berjaya memiliki restoran dan mencipta masakan unik dan sedap untuk menarik pelanggan-pelanggan sehingga menjadi trending dan dikenali ramai,” ujarnya.
Selain T.O.P, program biografi masakan Jurnal Resipi pula akan memulakan siaran mulai Khamis 7 Januari, jam 6 petang. Selama satu jam, penonton berpeluang mengenali lebih dekat chef, pemilik restoran atau pencipta resipi yang mempunyai kisah hidup menarik sebelum mereka mencapai kejayaan atau kemasyhuran.
Dalam episod pertama Khamis ini, penyanyi yang pernah memenangi pertandingan masakan TV, Masterchef, Datuk Fadzli Yaakob, berkongsi suka duka dan cabarannya untuk mencipta nama dalam bidang masakan warisan Minang dan Negeri Sembilan.
Di sebalik kejayaannya sebagai penyanyi, beliau mengejar cita-cita untuk membuktikan kepada Allahyarham ayahnya bahawa beliau mampu berjaya dalam bidang yang suatu ketika dahulu tidak diminatinya.
Selain memaparkan kisah di sebalik kejayaan, Jurnal Resipi turut menampilkan resipi masakan moden, tradisional, makanan kesihatan dan sajian yang viral di media sosial.
Kedua-dua program ini adalah sebahagian daripada pengisian baharu di ntv7 untuk tahun 2021. T.O.P diterbitkan oleh Norhakimi Mohd Naim, yang sebelumnya menerbitkan banyak program bual bicara termasuk Syariah Meja Bulat dan Nasi Lemak Kopi O, manakala Jurnal Resipi diterbitkan oleh Hazrena Mohamed Kassim, yang juga Penerbit dan Pengacara Wanita Hari Ini.
[KREDIT: TV3]
0 Comments