BAGI yang biasa menonton siaran berita di waktu pagi, pasti sahaja mengenali wajah penyampai Awani Pagi, GeeGee Ahmad.
Satu nama yang agak unik untuk seorang penyampai berita yang selalunya menggunakan nama penuh atau nama sebenarnya mereka. Atau mungkin memang itulah nama sebenar penyampai jelita yang mempunyai wajah seiras selebriti popular Indonesia, Bunga Citra Lestari itu.
Bukan sahaja bertugas sebagai penyampai berita dan penyampai slot Awani Pagi, GeeGee yang telahpun berumah tangga itu juga pernah bergelar hos program Awani, Style Distict.
GeeGee merupakan salah seorang penyampai berita yang mempunyai tone suara menarik, jelas dan sedap didengar pada penyampaiannya.
Bukan itu sahaja, GeeGee juga dilihat seorang penyampai yang bijak dan sentiasa bersedia dengan setiap topik dibincangkan dalam tugasannya di Awani Pagi.
Malah, selain soalan-soalan yang disediakan penerbit, dia juga dilihat turut tampil memberikan soalan spontan yang bertepatan dengan topik dikemukakan.
Bukan sahaja sinonim dengan trademarknya mengakhiri slot Awani Pagi kendaliannya dengan ucapan 'Bye', GeeGee juga dikenali sebagai penyampai yang murah dengan senyuman seolah-olah sentiasa dekat dengan penonton.
Jika sebelum kini GeeGee sering digandingkan dengan rakan penyampai Nailah Huda di Awani Pagi, kini dia bersama Nur Syazwani Saifulsham yang baru sahaja menyertai team Awani Pagi. Antara rakan penyampai lain yang turut bersama GeeGee di Awani Pagi ialah Afiezy Azaman, Haqiem Rahman, dan Hafizi Rosli.
Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 yang dilaksanakan bermula 13 Januari lalu, barisan penyampai Awani Pagi termasuk GeeGee telah bersiaran dari kediaman masing-masing. Namun tahap profesional barisan Awani Pagi itu tetap dikekalkan sebagaimana bersiaran di studio.
Masing-masing kekal memberikan yang terbaik sehinggakan ramai penonton tertanya-tanya bagaimana mereka bekerja dari rumah terutamanya untuk tugasan menyampaikan berita.
Geegee sedikit sebanyak turut berkongsi situasi belakang tabir pengalaman tersebut menerusi laman Instagramnya. Nampak semuanya tersusun dan teratur di depan kaca TV, hakikatnya di belakang tabir, masing-masing berusaha keras untuk tampil memberikan yang terbaik dengan menggunakan kreativiti sendiri. Itulah kelebihan barisan penyampai Awani Pagi.
Pada yang mahu mengenali GeeGee dan rakan penyampai Awani Pagi lebih dekat, jangan ketinggalan menyaksikan program tersebut pada jam 8.30 setiap hari di Astro Awani, saluran 501.
"Saya GeeGee Ahmad, terima kasih kerana menonton. Kita jumpa lagi, bye.."
[KREDIT: Instagram GeeGee Ahmad]
[KREDIT: Instagram GeeGee Ahmad]
0 Comments