Hot Posts

6/recent/ticker-posts

ASYIK KENA TIPU, ARA JOHARI SILAP BUAT PILIHAN?



ICSYVMY3 Minggu 15 yang disiarkan pada hari Ahad lalu dimeriahkan dengan gelagat Ara Johari. Kali ini, panel penyiasat tetap ICSYVMY3 iaitu Yusry Abdul Halim, Jihan Muse dan Mark Adam bergandingan dengan tiga panel penyiasat jemputan iaitu Fad Bocey, Naqiu dah Shiha Zikir.

Ara berjaya mencuit hati penonton apabila dia menyingkirkan penyanyi misteri kelima, seorang pelajar teknologi maklumat (Muhd Zulfitri Jefri) yang berjaya menghiburkan studio pada pusingan pertama. Nasihat para panel diabaikan Ara pada pusingan ini, dan dia bernasib baik kerana Zul ternyata seorang penyamar bersuara sumbang yang happy go lucky.

Di pusingan kedua pula, kesemua panel sebulat suara memilih untuk menyingkirkan penyanyi misteri keempat dan keenam. Penyingkiran penyanyi misteri yang dipilih Ara pula ialah penyanyi misteri pertama, walaupun dihalang majoriti panel. 

Ternyata pilhannya adalah salah kerana pegawai khidmat pelanggan (Muhd Zarif Iman Mohd Zaudin) ini sebenarnya penyanyi sebenar yang berbakat. Seterusnya, Ara mengikut nasihat panel dan menyingkirkan penyanyi misteri keenam, seorang penari tradisional (Ajlaa Maira Hilme) yang berjaya mengejutkan kesemua orang di studio kerana dia mempunyai suara yang lunak dan merupakan penyanyi sebenar. 
Dua kali berturut-turut Ara membuat pilihan yang salah namun rancangan harus diteruskan. Di pusingan ketiga, setelah mendengar semua maklumat tambahan, Ara membuat keputusan untuk menyingkirkan penyanyi misteri keempat, seorang penghantar makanan (Muhd Danish Iman). 




Sekali lagi, Ara tersilap kerana Danish merupakan penyanyi sebenar yang menyanyikan lagu Aqilah dari Floor 88 dengan hebat sekali di pentas penentuan. Danish juga sangat meminati Ayie Floor 88, kerana itulah dia menari dan berpenampilan seperti penyanyi tersebut.

Di pusingan terakhir, Ara memilih penyanyi misteri ketiga, 'abang Fad Bocey' yang dikatakan wajahnya seiras dengan Fad Bocey. Keputusan Ara untuk memilih pembantu chef (Ahmad Saddam Mohd Jamhori) sebagai pasangan duetnya kerana kali ini dia ingin mendengar nasihat kesemua panel. 

Ara dan kesemua panel telah tertipu oleh Saddam yang sebenarnya ialah seorang penyamar bersuara sumbang dan berjaya membawa pulang wang tunai RM3000.00. Graduan sijil aliran logistik (Anis Natasha Zeilani) yang disingkirkan bukan sahaja beauty with brain malahan merupakan seorang penyanyi sebenar yang pendiam dengan suara yang menusuk jiwa. Rupa-rupanya Anis sudah pun menyanyi sejak berumur 10 tahun lagi.

Episod seterusnya yang bakal bersiaran pada hari Ahad ini (19 Julai 2020) menampilkan  Ronnie Hussein sebagai artis jemputan. 

Turut serta sebagai panel penyiasat jemputan adalah penerbit dan pengarah drama ‘Mak Cun’ iaitu Erma Fatima dan Ayie Floor 88. Dengar nama selebriti-selebriti ini sahaja sudah boleh terbayang betapa meriahnya episod itu nanti.  

ICSYVMY3 dihoskan oleh Shuk Sahar dan Sean LJE.


[KREDIT: TV3/Media prima] 

Post a Comment

0 Comments