Hot Posts

6/recent/ticker-posts

ISI HATI YONNYBOII DALAM AKU ITU AKU


KOMPOSER lyricist, producer dan penyanyi muda yang kian meningkat naik, Yonnyboii antara bakat baharu yang perlu diberi perhatian.

Mula mencuri tumpuan menerusi lagu Sakit dan Cemburu kolaborasi bersama Zynakal, disusuli dengan Salahku, hasil kerja Yonnyboii terus menjadi buat mulut penggiat seni tempatan.

Enggan menunggu lama dan ingin terus terbang tinggi, Yonnyboii atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin melancarkan pula single solo Aku Itu Aku.

Istimewanya, Yonnyboii memilih tanggal 20 Mei sebagai tarikh pelancaran lagu ciptaan sepenuhnya itu sempena meraikan ulang tahun kelahiran yang ke-22.

Menurut Yonnyboii, lagu itu menggambarkan perasaan dan cabaran menghadapi ujian dunia selain hadiah untuk diri sendiri. 

“Lagu ini dilancarkan sempena hari jadi saya sebagai hadiah buat diri sendiri. Jadi, lagu ini macam peringatan untuk diri saya yang semakin meningkat usia. Tapi, saya masih orang sama. 
“Dalam masa sama, saya ingin berkongsi kenapa selama ini orang menilai saya pelik sehingga dihakimi dan disalah erti. Sebenarnya, selepas membuat pemeriksaan saya mempunyai penyakit Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) atau Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif. 
“Jadi, terjawab kenapa saya berkelakuan, berasa seperti orang buangan dan sebagainya. Kiranya, lagu ini berkenaan itu. Tapi, dalam masa sama untuk mengingatkan diri yang saya adalah normal cuma sedikit istimewa. Apa yang penting, lagu ini saya nak perbetulkan apa yang orang sering cakap semua manusia tak sempurna. 
“Sebab, selepas melalui banyak perkara, saya sedar sebagai manusia, Allah sudah ciptakan kita sempurna dengan pelbagai sifat dan kerenah. Cuma, kita unik dalam pelbagai cara. Kita sempurna dan cantik dengan cara tersendiri. Jadi, bagi saya untuk mengatakan manusia tak sempurna adalah tidak tepat,” katanya.

 Yonnyboii yang mula terjun secara profesional dalam bidang muzik pada 2016 berkata, dia mempunyai alasan tersendiri kenapa memilih lagu Aku Itu Aku sebagai tempat bercerita kisah dirinya.

“Saya ini dikira macam budak pelik. Dan saya selalu anggap diri sebegitu ke mana saja pengi. Ini juga antara punca saya menjadi anti sosial. Sebab saya sedar orang tidak menyukai saya dan sering menjadi mangsa ‘bahan’. 
“Apa ingin disampaikan, setiap orang ada kesakitan dan peningkatan dalam hidup. Saya pasti menerusi lagu ini orang dapat kaitkan dalam diri masing-masing,” katanya.

Menurut Yonnyboii yang juga komposer lagu Jangan Keluar, lagu Aku Itu Aku secara tidak langsung masyakat akan lebih tahu dan menyedari personaliti sebenar dirinya.

“Saya hanya nak cakap, tak ada masalah nak menjadi pelik. Tak ada apa yang salah jika menjadi diri sendiri. Kenapa nak kena berselindung. Sakitkan diri saja,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu itu, Yonnyboii berkata ia adalah eksperimen dalam muzik yang dibawa.

“Untuk muzik kali ini saya cuba eksperimen sikit. Saya menggabungkan R&B dan elemen rock. Jadi, dari kebiasaan R&B hip hop, saya cuba selitkan rock alternatif pula. 
“Seperkara lagi, apa boleh dikatakan gubahan lagu ini memang sangat berbeza daripada lagu saya sebelum ini,” katanya.

Menyentuh mengenai perjalanan seninya, Yonnyboii menyifatkan apa yang diraih sekarang adalah di luar jangkaan.

“Semua ini saya memang tidak jangka. Apa yang berlaku sekarang bermula dengan minat. Sewaktu kecil dulu lagu menjadi peneman saya. Dulu saya tinggal dengan opah. Setiap kali mak balik kampung dia selalu ada kaset baru yang boleh dipasang di radio. 
“Saya juga ada diari yang mana saya akan lukis dan tulis segala luahan perasaan. Tidak kisah gembira atau sedih. Semuanya ditulis dan menjadikan ia lagu. 
“Dari situ saya secara perlahan-lahan tulis lagu. Tapi, tidak pandai main alat muzik. Ketika umur 12 tahun, mak menghadiahkan saya gitar. Sebab dia pernah tanya saya, apabila besar nak menjadi apa. Saya jawab nak menjadi ‘rockstar’. Sedikit demi sedikit saya belajar di YouTube dan mula belajar macam mana nak rakam lagu.
“Secara serius dalam muzik apabila saya menghasilkan lagu hip hop pada 2016. Dari situ saya berasa boleh pergi jauh selain ada yang mendengar lagu saya,” katanya.


[KREDIT: Universal Music]

Post a Comment

0 Comments