Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Seni dalam talian bersama JKKN


KEMETERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya  kini mengadakan Program Seni dalam Talian@#dudukdirumah atau Arts Online@ #stayathome yang merangkumi pelbagai bidang untuk penggiat dan pencinta seni budaya mencungkil bakat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) ini adalah salah satu usaha untuk memberi ruang dan peluang kepada mereka yang berbakat untuk mengisi masa lapang sepanjang berada di rumah dengan menyertai pertandingan dan manifestasi seni budaya. 

Konsep penganjuran program ini dilaksanakan dengan menggunakan aplikasi rakaman video melalui telefon pintar dan melakukan aksi-aksi yang telah ditetapkan mengikut bidang seperti tari, teater, muzik, bahasa dan persuratan serta seni pertahankan diri iaitu silat. 

Bagi bidang tarian yang ditawarkan adalah Tarian Zapin, Tarian Kipas,Tarian Bharatanatyam, Tarian Etnik Sabah dan Sarawak secara kreatif dengan syarat masih mengekalkan identiti seni dan budaya rakyat Malaysia. 




Manakala bidang Teater diadakan di premis masing-masing dengan memfokuskan kepada dua kategori iaitu Monodrama melalui lakonan solo dengan banyak watak yang lengkap diiringi susunan set dan prop persembahan. Bagi Monolog pula iaitu melontarkan dialog bertujuan meluahkan perasaan dan isi hati seseorang. 

Bidang Muzik menawarkan dua kategori iaitu Pertandingan Cipta lagu raya ciptaan sendiri dan tidak pernah dihantar mana-mana pertandingan yang lain serta dinyanyikan oleh komposer atau penyanyi di rumah. 

Manakala nyanyian lagu Irama Malaysia pula dengan menggunakan elemen sedia ada iaitu asli, inang, joget, zapin, samrah dan langgam moden serta penyanyi mestilah tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan anjuran stesen televisyen sedia ada. 

Selain itu, terdapat juga bidang bahasa dan persuratan melalui pertandingan Puisi dalam talian yang bertemakan patriotik dengan ciptaan sendiri tanpa mengambil mana-mana puisi sedia ada atau pihak lain manakala pertandingan pantun mestilah menulis dua rangkap pantun bertemakan duduk di rumah. 

Bidang seni pertahankan diri pula menampilkan pertandingan Silat Seni secara solo dan terbuka kepada semua kategori umur. 

Selain pertandingan, JKKN juga mengadakan Manifestasi seni budaya iaitu Program jom bercerita di mana video yang menampilkan tokoh dan budayawan serta penggiat seni dengan bercerita kisah-kisah rakyat dan hikayat dalam penerapan nilai-nilai murni seperti Awang Batil, Tok Selampit dan sebagainya. 

Manakala Program Jom Belajar pula di mana ianya menampilkan penggiat seni, tokoh dan budayawan dalam memberi tunjuk ajar secara tutorial seperti lipatan sampin, membuat tengkolok, manjahit manik, membuat busana, permainan tradisional dan permainan muzik tradisional serta moden. 




Semua pertandingan dan manifestasi ini akan dilaksanakan secara rakaman dan perlu di hantar kepada urusetia untuk dinilai oleh juri yang telah dilantik berdasarkan kepakaran dalam bidang masing-masing bagi mencari pemenang sebelum ianya disiarkan di semua laman sosial rasmi JKKN.  

Tujuan program ini adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada masyarakat luar dan peminat seni budaya untuk memenuhi masa lapang ketika berada di rumah dengan membuat perkara-perkara yang berfaedah dan dapat memberi manfaat kepada orang lain. 

Disamping itu, melalui pertandingan ini dapat menanam nilai-nilai murni dalam diri sekaligus dapat melahirkan modal insan yang berguna kepada negara. Semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh peserta yang menyertai mampu membuatkan masyarakat lain turut sama membuat perkara-perkara yang baik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. 

Program ini akan berlangsung selama sembilan hari iaitu bermula pada 14-22 April,  manakala tarikh tutup penyertaan pada 23 April. 

Peserta yang menyertai hanya perlu menghantar penyertaan melalui email beserta borang penyertaan yang telah disertakan. Pemenang pertandingan ini akan menerima hadiah berbentuk wang tunai iaitu RM1,000 bagi johan, RM800 naib johan dan RM500 bagi tempat ke tiga manakala RM200 akan diberikan kepada lima peserta mendapat saguhati. 

“JKKN sentiasa komited terhadap usaha membantu kerajaan ketika arahan perintah kawalan pergerakan ketika ini dengan menyemarakkan seni dan budaya melalui program Seni dalam Talian @ #dudukdirumah dengan memberi peluang secara langsung kepada penggiat seni dalam meneruskan kehidupan untuk aktiviti seni dan budaya melalui bakat yang sedia ada,” kata Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JKKN, Rosli Osman  dalam satu kenyataan pada hari ini.

JKKN serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sentiasa peka mencari inisiatif untuk memberi nilai tambah, pembaharuan ke arah transformasi dan menjadi pemangkin kepada perkembangan seni budaya tanah air melalui usaha menyokong produk seni kreatif dan digital sebegini. - 7KLIK 


[KREDIT: JKKN]

Post a Comment

0 Comments