Hot Posts

6/recent/ticker-posts

PROGRAM BAHARU TV ALHIJRAH, PUJUK RAKYAT MALAYSIA TENANG DI RUMAH SEPANJANG PKP


PERMULAAN suku pertama tahun 2020 secara kasarnya dilihat amat mencabar apabila seantero dunia diserang hendap oleh virus sekecil zarah bergelar Covid-19.

Penularan wabak Covid-19 ini bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan manusia, namun ia turut memberi tekanan kepada perkembangan sosioekonomi masyarakat.

Sebagai umat Islam yang berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-Sunnah, sedari awal kita diajar untuk bersangka baik dengan ujian Allah SWT lantas menilai setiap cabaran dengan perspektif berbeza dan menjadikannya peluang untuk berubah kearah kebaikan,

Tidak mahu ketinggalan, TV AlHijrah melancarkan kempen #MusaadahCovid19 yang dilhamkan sendiri oleh YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) sebagai usaha memanfaatkan keberadaan penonton di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menerusi kempen #MusaadahCovid19, TV AlHijrah mahu terus dilihat sebagai stesen yang menyatupadukan ummah menerusi penerbitan rancangan-rancangan yang berinformasi, terkini dan relevan,

Oleh yang demikian, stesen ini tampil dengan dua rancangan baharu iaitu Rancangan Ngaji On The Go dan #QuranTime Musim Kedua. Manakala beberapa rancangan lain ditambah baik bagi memberikan maklumat terkini kepada penonton seperti rancangan Berita AlHijrah.




#QuranTime Musim Kedua

#QuranTime Musim Kedua adalah sebuah rancangan baharu yang diterbitkan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan Warisan Ummah Ikhlas.

#QuranTime Musim Kedua disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Ahad, jam 12 tengahari hingga satu petang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dilaksanakan.

Mengguna pakai tagline MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah. Rancangan ini menampilkan Tuan Fazrul Ismail, seorang pentadabbur Al-Quran yang tidak asing lagi sebagai hos rancangan.

Menerusi satu jam siaran #QuranTime, penonton seisi keluarga berpeluang untuk bertadarus bersama-sama tetamu jemputan yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang seperti para ilmuan agama, ahli akademikdan ramai lagi. Kesemua mereka akan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah.

TV AlHijrah menjadikan #QuranTime sebagai makanan jiwa yang mampu menenangkan, mendidik dan memberi kekuatan dalaman kepada seluruh umat Islam Malaysia dalam menghadapi ujian Allah yang sangat besar ini.

Paling penting, #QuranTime dilihat mampu dijadikan platform terbaik untuk menyatukan hati-hati penonton dalam membina tabiat baru dalam meningkatkan keimanan kepada Allah SWT.



Ngaji On The Go

Ngaji On The Go adalah sebuah rancangan yang disiarkan khusus buat hampir dua juta pelayar internet di platform facebook TVAlhijrah.

Ngaji On The Go disiarkan pada setiap hari, jam 9 malam hingga 9.30 malam, selama 13 episod siaran bermula 2 April 2020.

Rancangan ini dilihat sebagai usaha TV AlHijrah untuk menyantuni dan mendidik penonton setianya di platform online. Ia adalah pendekatan untuk mempelajari kitab suci Al-Quran merentasi jarak secara dua hala bersama Ustazah Amie Sophia.

Paling menarik, Ustazah Amie Sofia akan ditemani rakan-rakan selebriti Malaysia seperti Siti Fazurina Mohd Famir, Ustazah Sharifah Khasif, Ustazah Noni, Ustaz Don, Ustazah Nazrah dan ramai lagi bagi memperdengarkan bacaan ayat suci Al-Quran sambil mempelajari ilmu-ilmu seputar Kalam Allah bermula dengan tajwid dan makhraj Al-Quran serta tadabbur kisah-kisah dalam Al-Quran.



Berita AlHijrah

Mengambil kira akan tragedi yang sedang menimpa negara saat ini, tim penerbitan Berita AlHijrah tampil produktif dengan memanjangkan waktu siaran Berita AlHijrah.

Berita AlHijrah akan bersiaran selama satu jam sepanjang tempoh PKP dilaksanakan iaitu bermula jam 8 malam hingga 9 malam.

Menerusi pembaharuan ini, Berita AlHijrah akan meletakkan keutamaan kepada pelbagai cabang laporan berkaitan ancaman COVID-19, namun tidak meminggirkan 'DNA' asalnya yang meletakkan isu-isu kepentingan rakyat sebagai nadi kandungannya.

Antara tajuk-tajuk yang akan dikupas seputar isu wabak Covid-19 adalah seperti ancaman sosial virus Covid-19, sisi pandang agama, perutusan kerajaan dan pengumuman khas, wawancara dan reaksi rakyat, pencegahan dan impak sosioekonomi dan banyak lagi isu menarik lain.Turut dimuatkan juga perkongsian secara langsung menerusi aplikasi Skype bersama pesakit, bekas pesakit dan petugas perubatan yang berada di barisan hadapan dalam mendepani ancaman virus pembunuh ini.

Berita Alhijrah masih mengekalkan enam pembaca berita utama yang mempunyai pengalaman luas di dalam menyampaikan berita iaitu Adi Akmal Sehrom, Ardi Herman Mohd Mardzi. Wan Kamarudin.Wan Ibrahim, Azizah Ariffin, Syafinaz Yunus dan Nadzirah Sharingat.sebagai pembaca berita,

TV AlHijrah amat berkeyakinan bahawa siaran ketiga-tiga rancangan ini disamping rancangan sedia ada seperti rancangan Maidatul Quran, Analisis, 60 Minit Bersama Cofee With Mufti, Assalamualaikum dan Al-Qariah mampu memberi nilai tambah kepada kehidupan seharian penonton setia stesen ini. 




[KREDIT: TV AlHijrah]

Post a Comment

0 Comments