DATUK Rosyam Nor geram dengan kedegilan Andi Bernadee dalam I Can See Your Voice Malaysia Musim 3 (ICSVYMY3) minggu ketujuh. Pilihan Andi dalam episod kali ini mengundang kemarahan pelakon veteran Datuk Rosyam Nor apabila Andi tidak mendengar nasihat dan berulang kali membuat kesilapan yang sama!
Episod 7 yang penuh dengan gelagat lucu mencatat jumlah penonton secara purata pada 4.25 juta penonton dan syer penonton sebanyak 50.2% ketika bersiaran di TV3 pada 29 Mac 2020 dari 9.00 malam hingga 10.30 malam. (Sumber: Nielsen Audience Measurement).
Seperti minggu-minggu sebelum, panel penyiasat tetap ICSYVMY3 ialah Yusry Abdul Halim, Jihan Muse dan Mark Adam. Pada minggu lepasi, ICSYVMY3 membawakan penampilan khas penyanyi BBNU popular iaitu Andi Bernadee. Selain itu, usahawan dan pelakon terkenal tanah air, Datuk Rosyam Nor berserta Aprena Manrose turut dijemput sebagai panel penyiasat.
Pada pusingan pertama, Andi menerima cadangan panel penyiasat iaitu penyanyi misteri kedua atau penyanyi misteri kelima. Andi akhirnya memilih penyanyi misteri kedua, seorang pelajar kewartawanan dari UiTM Shah Alam (Nur Hayatun Nisa Mohd Khir) walaupun Datuk Rosyam Nor, Mark Adam dan Yusry membantah pilihan tersebut.
Andi terus menjadi serba salah apabila mendengar suara lunak Nisa di pentas penentuan kerana ternyata Nisa adalah penyanyi sebenar yang disingkirkan terlalu awal. Andi hampir dibelasah Datuk Rosyam Nor kerana tidak mendengar nasihat!
Di pusingan kedua pula, kesemua panel penyiasat sebulat suara menyingkirkan penyanyi misteri pertama iaitu seorang pengawal keselamatan (Azman Jamurah) yang sebenarnya seorang penyanyi sebenar dari Sabah, seperti Andi. Azman disingkirkan kerana lip sync yang dilakukannya tidak meyakinkan.
Andi pula menyalahkan panel penyiasat yang kononnya tidak membantu Andi dalam membuat pilihan. Seterusnya, penyanyi misteri kelima, seorang pelajar beatbox (Muhd Mirza Azfar Mohd Azmi) telah dipilih untuk ke pentas penentuan dan ternyata dia memang seorang penyamar bersuara sumbang.
Pusingan ketiga pula menyebelahi ‘rancangan jahat’ Jihan Muse untuk menyingkirkan kesemua penyanyi misteri perempuan apabila Andi memilih penyanyi misteri keempat, seorang penyanyi band (Hani Amir Shariffuddin Suraya) untuk disingkirkan. Namun mereka semua tergamam apabila Hani ternyata seorang penyanyi sebenar dengan suara yang sangat unik.
Memasuki pusingan terakhir, majoriti panel dan penonton memilih penyanyi misteri keenam, seorang guru bahasa Mandarin (Muhd Shahmeer Mohd Nashrul) untuk berduet dengan Andi, kecuali Jihan Muse dan Andi sendiri yang mahu menyingkirkan Shahmeer.
Sekali lagi Andi membuat kesilapan kerana ternyata Shahmeer ialah penyanyi sebenar. Alangkah terkejutnya mereka apabila mengetahui Shahmeer yang kacak seperti artis ‘k-pop’ sebenarnya berbangsa Melayu kacukan Cina. Sekali lagi Datuk Rosyam Nor geram dengan Andi tetapi dengan bijaknya, Andi berbincang dengan Datuk Rosyam Nor bahawa dia yakin penyanyi ketiga adalah penyanyi sebenar.
Pilihan duet Andi ialah seorang ejen jualan melalui telefon (Muhd Nasir Aris). Malangnya, dia seorang penyamar bersuara sumbang dan secara automatik, Nasir berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000. Apabila Shuk bertanya mengapa Andi berterusan degil sepanjang rancangan ini, Andi menjawab dengan tenang bahawa dia ingin berkongsi rezeki.
Jangan ketinggalan untuk terus mengikuti episod seterusnya yang menampilkan rapper MK dari kumpulan K-Clique sebagai artis jemputan dan Zizan Razak, Ben Ladin dan Ramona Zam Zam sebagai panel penyiasat jemputan pada 5 April 2020. Pastikan hari-hari anda di rumah sentiasa terhibur bersama rancangan kami dan gunakan tanda pagar #ICSYVMY dan #StayAtHome dalam merancakkan perbualan di platform media sosial anda.
Bersiaran sepanjang 10 episod dan 1 episod khas, program ini mempamerkan seorang artis jemputan dan dua orang penyiasat jemputan untuk memeriahkan lagi suasana di studio ICSYVMY pada setiap episod. Tugas para penyiasat bertujuan membantu artis jemputan mengenal pasti siapakah penyanyi misteri suara sumbang dalam kalangan penyanyi misteri yang ditampilkan.
ICSYVMY3 dihoskan oleh Shuk Sahar dan Sean LJE dan menampilkan Oppo sebagai penaja bersama untuk kali kedua dalam musim ketiga ini. Disokong oleh Hot FM sebagai radio rasmi, manakala xtra, Oh Bulan! dan Senang Terhibur ialah rakan digital. Kru penerbitan ICSYVMY3 diketuai oleh Mas Ayu Haji Ali sebagai penerbit eksekutif dan Lucent Chong Kien Wen sebagai penerbit dari Primeworks Studios.
Berhibur dengan pelbagai gelagat dan kejutan dalam ICSYVMY3 pada setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam di TV3 dan strim dalam definisi tinggi di laman sesawang www.tonton.com.my . Siaran ulangan juga dapat ditonton menerusi TV9 pada setiap hari Sabtu, pukul 9.00 malam. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia.
[CREDIT: TV3]
0 Comments