REMY Ishak kini tergila-gilakan Mira Filzah pula? Semuanya bermula apabila Remy Ishak perlu mencari pengasuh bagi menjaga bayi lelaki yang ditinggalkan di masjid ketika dia mahu bernikah. Kerana bayi misteri yang dikatakan anak kandungnya, tunangnya tidak mahu meneruskan pernikahan mereka.
Sudahlah tak jadi kahwin, Remy pula perlu menjaga bayi tersebut sendirian kerana datuk dan neneknya tidak mahu campur tangan dan malu dengan perbuatannya. Nasib Remy baik, kerana Mira Filzah hadir pada waktu yang tepat! Mira Filzah bersetuju untuk menjadi pengasuh bayi tersebut memandangkan dia juga memerlukan duit.
Ironinya, semua ini adalah watak mereka berdua dalam drama terbaharu di slot Akasia mulai 20 Disember ini iaitu Pujaan Hati Kanda. Remy yang membawa watak Danny, bagai menerima pembalasan atas sikap kasanovanya dahulu apabila perlu bertanggungjawab menjaga seorang bayi secara tiba-tiba.
Danny terpaksa mencari pengasuh yang sudi menjaga Rizqi sementara dia menyiasat siapa sebenarnya ibu kepada Rizqi dan benarkah Rizqi anak kandungnya. Dalam kesulitan, Danny dipertemukan dengan Tiara (Mira Filzah), pelajar universiti yang kesempitan wang ringgit. Danny merahsiakan perkara sebenar mengenai identiti bayi itu. Tiara hanya mengetahui Danny adalah seorang duda yang kematian isteri.
Tanpa diduga, cinta mula berputik antara Danny dan Tiara. Dalam masa yang sama, Danny masih berusaha menjejak gadis misteri demi sebuah kebenaran dengan apa cara sekalipun sekali gus membongkar misteri yang membelenggu hidupnya.
PUJAAN HATI KANDA
Bahasa: Melayu
Episod: 28
Hari: Setiap Isnin hingga Jumaat
Masa: 7 petang
Saluran: TV3
Terbitan: Mache All Star United Sdn. Bhd.
Arahan: Eoon Shuhaini
Pelakon: Remy Ishak, Mira Filzah, Sarah Hildebrand, Syazwan Zulkifly, Elisya Sandha, Mustaqim Bahadon, Aida Khalida, Azar Azmi, Aidil Aziz, Dian P Ramlee, Catriona Ros
[KREDIT: MEDIA PRIMA/TV3]
0 Comments