Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Makyung Indera Dewa tampilkan Pakyung Cina


AKADEMI Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) mementaskan teater tradisional makyung bertajuk Indera Dewa pada 6 Disember 2018 di Blackbox, Aswara. Persembahan itu berlangsung selama satu malam mengisi salah satu slot Seni Akhir Tahun di bawah Pusat Seni pentas Tradisional Aswara (PuTRA).

Persembahan ini menampilkan seramai 14 orang pelajar Diploma tahun tiga daripada pelbagai fakulti dan dibantu oleh para pelajar yang dinilai daripada aspek pengurusan. Ini merupakan projek penilaian produksi yang merupakan syarat penganugerahan Diploma Aswara.

Istimewa persembahan Makyung Indera Dewa adalah kerana menampilkan para pelakon bukan melayu sebagai pemain utama. Watak pakyung yang membuka persembahan dengan lagu menghadap rebab dimainkan oleh Ong Jee Teng. 

Manakala watak-watak lain iaitu permaisuri dimainkan oleh Vinitha Balraman, Gajah Arak Api oleh Kim Khoo dan watak Puteri melur Sekuntum oleh Serene Yap. Kesemua mereka adalah pelajar fakulti Tari. Watak Indera Dewa dimainkan oleh Amsyar Azizan manakala watak Wak Penyadat Tar dipegang oleh Iqtiman Azmi.




Jee Teng telah menyampaikan lagu dan tarian menghadap rebab dengan cukup baik, walaupun berhadapan dengan kesulitan menyebut perkataan dalam dialek Kelantan. Dialek Kelantan bukan sahaja memerlukan dia menyanyi tetapi perlu berdialog secara spontan dengan watak peran. 

Ini benar menguji kemampuan Jee Teng sebagai pakyung. Latihan selama  tiga bulan yang dibimbing oleh adiguru Fatimah Abdullah, Adiguru Abdul Wahab Othman, Ahmad Lokman Ayub dan Che Kem telah membantu Jee Teng dan rakan-rakannya menguasai permainan makyung dengan baik sekali.

Selain Jee Teng, pujian juga harus diberikan kepada Vinitha Balrama yang juga diuji dengan tugasan menyampaikan lagu sedayung makyung yang memerlukan lenggok dan air lagu yang sangat teknikal tetapi disampaikan dengan sempurna daripada segi nyanyian dan tarian. 

Persembahan selama 1 jam 30 minit ini sangat menghiburkan dengan pelbagai babak. Antara babak yang mendebarkan ialah babak pertarungan antara Indera Dewa dan Gajah Arak Api, kedua-dua pelakon menampilkan skil gerakan yang menarik dengan koreografi yang berbeza daripada persembahan makyung sebelum ini. 

Babak lain yang menarik perhatian adalah babak sedih sewaktu Puteri Melur Sekuntum dipukul Raja Besar kerana menolak jodoh Wak Penyadat Tar. Tentu sekali persembahan makyung akan mencuit hati dengan gelagat peran yang dimainkan oleh Mior Ezzakir dan Faris Jamhari. Pada keseluruhannya persembahan makyung Indera Dewa menghiburkan dan memberi mesej yang baik.




Menurut Che Kem, selaku pembimbing dan pengarah persembahan, 

“Walaupun jumlah pelajar kecil tetapi mereka menunjukkan komitmen yang tinggi di dalam memastikan pementasan dapat direalisasikan. Pada awal latihan pelajar menghadapi kesukaran didalam mengucapkan dialek Kelantan dan menguasai lenggok bahasa dan lagu-lagu makyung. Alhamdulillah pada malam ini mereka menunjukkan kemampuan yang membanggakan”.


Sepanjang Disember 2018 ini, Aswara mempersembahkan beberapa buah teater tradisional mengisi slot Seni Akhir Tahun. 

Selain makyung Indera Dewa, dua lagi persembahan makyung dipentaskan iaitu makyung Raja Muda Laksana dan makyung Tuan Puteri Suria. Semoga usaha Aswara ini diteruskan demi melahirkan ilmuan dan penggiat seni yang celik tradisi. 



SINOPSIS MAKYUNG INDERA DEWA

Cerita Indera Dewa ini diolah dan disusun semula oleh Che Kem bagi disesuaikan keperluan penilaian. Makyung Indera Dewa mengisahkan pengembaraan Indera Dewa ke sebuah negeri demi untuk mencari ilmu dan pengalaman hidup. 

Tanpa diduga sewaktu dalam perjalanan Indera Dewa menempuh pelbagai dugaan termasuk menyelamatkan negeri Tioman Bunga daripada serangan Gajah Arak Api. Gajah Arak Api yang mengamuk telah mengakibatkan rakyat Tioman Bunga tidak dapat meneruskan kerja di sawah ladang dan hilang punca makanan. 

Ini menimbulkan kerisauan Raja Besar, pemerintah Tioman Bunga. Tiada seorang pun rakyat yang berani melawan Gajah Arak Api. Lalu Raja Besar menawarkan hadiah lumayan iaitu harta emas perak, dilantik menjadi Raja Muda dan dikahwinkan dengan Tuan Puteri Melur Sekuntum.

Indera Dewa yang dalam perjalanan berhenti berehat di hujung negeri yang tidak diketahuinya bahawa itu negeri Tioman Bunga. Sewaktu sedang berehat, dia didatangi Gajah Arak Api yang sangat membenci manusia. 

Lalu berlaku pertarungan antara mereka sehingga Indera Dewa berjaya menewaskan Gajah Arak Api dengan menggunakan anak panah saktinya. Akhirnya Gajah Arak Api mati bersama panah yang tetusuk dibadannya dan rebah di bawah pohon tar. 

Kebetulan di atas pohon tar itu, Wak Penyadat sedang menyadat. Apabila Wak mendapati Gajah Arak Api telah mati , lalu dipotong belalai dan pergi menghadap raja. Wak mengaku membunuh gajah dan menuntut janji Raja Besar. Berlakulah pergolakan antara Raja Besar dan Tuan Puteri Melur Sekuntum. 

Atas nasihat Pengasuh Tua, Raja Besar menitahkan agar Wak Penyadat membuktikan kebenaran bahawa dia yang membunuh gajah itu. Sewaktu rakyat berkumpul untuk menyaksikan kebenaran itu, Indera Dewa turut hadir. Lalu terbuktilah kebenaran dan akhirnya Indera Dewa bertemu jodoh dengan Puteri Melur Sekuntum. - 7KLIK 


[KREDIT: PuTRA Aswara]

Post a Comment

0 Comments