RAMPAI Sari Tari Malaysia mengisi slot terakhir program Panggung Seni Tradisional 2018, anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
Kami kongsikan beberapa fakta menarik tentang program ini yang berlangsung pada 26-27 Oktober laludi Auditorium Tunku Abdul Rahman, Matic, Jalan Ampang.
FAKTA RAMPAI SARI TARI MALAYSIA 2018
1. Persembahan gabungan antara Kumpulan Kesenian Universiti Malaya (Kesuma) dan Sekolah Seni Malaysia, Johor.
2. Dr. Premalatha Thiagarajan bertindaka sebagai Pengarah Persembahan dan Artistik dan dibantu Mohd Fauzi Selo.
3. Persembahan dibahagikan kepada empat segmen iaitu Segmen Tari Klasik Melayu, Tari Zapin Melayu Nusantara, Repertoir Tarian Kompleks Budaya Negara 70-an dan Himpunan Tarian Lagu-Lagu Rakyat.
4. Menampilkan 29 jenis tarian tradisional dari pelbagai negeri.
5. Tiket untuk dua malam persembahan sold out!!!
Tarian Asyik (Versi Istana Balai Besar, Kelantan)
Asyik dipercayai wujud sebelum kejatuhan kerajaan Raja Kuning pada tahun 1688. Walau bagaimanapun, tarian ini dikenal pasti telah wujud pada tahun 1844 di Istana Kelantan. Tarian ini dipersembahkan di hadapan Raja dan Pembesar di Istana Balai Besar, yang merupakan istana kepada Sultan Muhammad II, yang memerintah Kelantan antara tahun 1839 dan 1886.
Ada bberapa versi Tarian Asyik, tetapi yang dipersembahkan di Kuala Lumpur ketika sambutan Hari kemerdekaan Malaya pada 1957 telah diperkenalkan oleh dua orang kakitangan yang bekerja di Istana Kelantan iaitu Nik Abdul Rahman Nik Dir dan Ismaik Bakti.
Versi ini kemudiannya diajarkan oleh anak Ismail Bakti iaitu Tharuwat Ismail Bakti. Bermula tahun 1957-1970, Tarian Asyik telah menjadi salah satu tarian klasik yang diketengahkan oleh Kompleks Kebudayaan Nasional Kuala Lumpur.
Tarian Terinai Dewa Raja
Terinai Dewa Raja adalah satu tarian yang jarang dipersembahkan dalam repertoir Terinai. Terinal lain terdiri dariapda Terinai Mengadap, Terinai Selom, Terinai Layang Mas dan Terinai Ketam Bawa Anak.
Terinai Dewa Raja adalah tarian istana dari Perlis Indera Kayangan. Tarian ini digelar Dewa Raja kerana dahulunya Perlis dinamakan Indera Kayangan dan tempat tersebut merupakan tempat berkelah damn bersuka ria bagi raja-raja dan sultan.
Tarian ini adalah sebuah tarian istana yang sangat indah yang dikatakan berasal dari improvisasi pergerakan silat. Di samping itu, dalam tarian ini terdapat pengaruh dari Siam yang digunakan dalam postur, gestur dan pergerakannya.
Tarian ini hanya dipersembahkan oleh penari lelaki. Dr Zamin Harun (Dr. Chandrabhanu) telah menyusun semula ragam-ragam tersebut bagi tujuan persembahan. Terina Dewa Raja juga mempunyai keistimewaan tersendiri kerana menggunakan canggal atau kuku untuk menunjukkan konsep kedewaan dalam tarian ini.
Joget Gamelan Lambang Sari
Joget Gamelan dipersembahkan di istana negeri Pahang dan Terengganu. Repertoir tarian ini amat penting dalam tarian klasik Melayu di Malaysia. Tarian Gamelan telah dicipta oleh Tunku Ampuan Mariam, di mana terdapat hampir 50 repertoir tarian tetapi nama tarian yang dicatatkan hanya ada 44 jenis.
Antaranya ialah Ayak-Ayak, Tolar, Lunang, Kilas Dayung, Togak, Timang Burung, Lantai Lima, Anum, Gagak Seteror, Ketawang, Bayas Budiman, Selanting, Ketam Renjung, Topeng, Lambang Sari, Perang Manggung, Warna Warni, Geliong, Baba Layar, Buyung, Antawadar, Gambus, Timang Inu, Selang Arak, Perang, Monang, Manggung Mati, Lancang Kuning, Ayak Ayak Dalam, Gembawa Balik, Tiong Semarang, Arak-Arak, Seraas Tunggal, Rangu-Rangu, Hujan Eruas, Baung Atas Gunung, Taman Sari, Mongga, Galah Ganjil, Kendung Gajah Mati, Gambuh, Lolok, Gandung Melati dan Payung Patah.
Joget Gamelan Lambang Sari atau Gelombang Sari ini menceritakan tentang lakonan Puteri yang sedang menjala ikan di pantai. Berdasarkan cerita dalam tarian ini mempunyai hubung-kait dengan peristiwa membayar kaul (melepaskan hajat).
Gerak tari ini mengisahkan pekerjaan seharian rakat jelata seperto menangkap ikan, memancing, berdayung, menebar jala, memungut dan menggalas ikan. Bagaimanapun, tajuk lain tarian ini Gelombang Sari yang sesuai kepada ekspresi perlakuan menjala ikan.
Zapin Melayu Johor
Profesor Dr. Mohd Anis Md Nor merupakan pelopor kepada kajian tarian dan muzik Zalin di Asia Tenggara. Malah Prof. Dr. Anis sendiri telah mengasaskan pemugaraan Zapin Melayu Johor pada tahun 1996.
Catatan dan rakaman terawal yang beliau lakukan pada sekitar tahun 1983-1985 menyelusuri daerah-daerah lama peninggalan kerajaan Melayu Melaka di kawasan Lenga dan Panchor di hulu sungai Muar, kemudian menghilir ke daerah Muar untuk mencari saki baki peninggalan warisan Zapin Melayu.
Dalam persembahan Zapin Melayu Johor, terdapat struktur utama persembahan iaitu pembahagian persembahan kepada tiga bahagian utama yang terdiri daripada Taksim atau Taqasim, Ragam dan Kopak, serta Wainab.
Zapin Putar Alam
Encik Sabri Mahmood merupakan salah seorang penggiat dan pewaris seni tari Zapin Putar Alam di Muar Johor. Selain Encik Sabri, seorang lagi rakannya iaitu Encik Rashid Haji Abdul Karim telah mempelajari seni tari zapin tersebut dariapda Allahyarham Saadan Zubir iaiatu pengasas Zapin Putar Alam pada tahun 1960an.
Keunikan Zapin Putar Alam ialah pergerakan tarianya yang berputar yang kerap antara penari lelaki dan perempuan ketika berpasangan.
Zapin Tanjung Labuh
Zapin ini telah diwarisi dan diteruskan oleh Puan Salmah Ahmad. Gaya persembahan Zapin Tanjung Labuh ini berbeza kerana ditarikan oleh kaum wanita sahaja dengan variasi dan memperlihatkan pergerakan kaki dan langkah yang lebih halus dan tertib.
Perbezaan yang paling ketara ialah pada lenggangan tangan. Zapin Tanjung Labuh ini mempunyai empat ragam tari iaitu Langkah 1, Langkah 2, Langkah 3 dan Langkah 4.
Zapin Dayung
Zapin Dayung telah diwariskan daan diteruskan oleh Allahyarham Haji Surif Sulaiman dan Haji Ismail Haji Arshad. Sebagaimana zapin-zapin lain, Zapin ini hanya ditarikan oleh kaum lelaki. Zapin Dayung ini juga telah menarik minat dan hati ramai pemuda di kampung Bahagia termasuk Haji Muharam Parlie yang merupakan anak didik Haji Surif Sulaiman.
Zapin Pulau
Zapin Pulau adalah sebahagian dari repertoir Zapin Johor. Zapin ini adalah antara zapin yang mula-mula digali pada tahun 1996 oleh Yayasan Warisan Johor. Zapin Pulai ini berasal dari daerah Mersing dan mempunyai pengaruh Zapin Pekan (Pahang) dan Zapin Sambas (Kalimantan Selatan).
Ragam tari yang terdapat dalam Zapin Pulau dikenali sebagai Langkah Lurus, Langkah Serong, Langkah Empat, Langkah Berulang atau Langkah Tak Jadi, Langkah Dolmat, Langkah Udang, Langkah Busrah dan Langkah Johor.
Makan Sireh
Tarian Melayu Asli adalah tarian yang ditarikan berdasarkan lagu Asli yang tertentu. Asli adalah tradisi tarian rakyat Melayu yang paling halus. Antara ciri-ciri pergerakan yang perlu dititikberatkan adalah cara gulungan jari dan cara melepaskan jari, serta pergerakan tangan yang lemah gemalai dan penuh kesopanan.
Tarian ini menggambarkan gerak geri halus yang menawarkan daun sireh keapda pasangannya sebelum memeulakan tarian. Tarian ini telah dicipta oleh Allahyarham Datuk Daud Omar.
Songket
Tarian ini telah dicipta oleh Allahyarham Datuk Daud Omar pada tahun 1976. Ia merupakan salah satu tarian yang sering ditarikan oleh kumpulan tari Kompleks Budaya Negara. Tarian Songket ini menggunakan lagu Melayu Asli yang berasal dari Johor iaitu Tanjung Puteri.
Tarian Songket lazimnya ditarikan oleh penari wanita sahaja dengan menunjukkan kemahiran menari sambil memegang songket.
Inang Kayangan
Tarian Inang Kayangan juga merupakan tarian yang berasal dari Kompleks Budaya Negara. Tarian ini telah dikoreograf pada tahun 1970an oleh seorang guru tari Melayu yang terkenal iaitu Allahyarham Said Manaf.
Tarian Inang Kayangan adalah tarian yang menggunakan motif yang sama dengan repertoir Inang yang lain, tetapi terdapat sedikit perbezaan pergerakan di amna terdapat pergerakan silat yang dilakukan oleh penari lelaki.
Nama tarian ini diambil berdasarkan judul lagu dan rentak pada tarian ini. Repertoir ini adalah salah satu daripada repertoir Kompleks Budaya Negara yang dihidupkan semula oleh Kumpulan Kesenian Universiti Malaya (Kesuma) dengan bantuan ahli Mawarku.
Inang Lama
Tarian Inang merujuk kepada tarian Mak Inang yang melambangkan pergerakan pengasuh wanita. Namun tarian ini juga boleh dilakukan oleh kedua-dua penari lelaki dan wanita berpasangan tetapi kualiti pergerakan adalah berbeza.
Sekitara tahun 1970an, repertoir Tarian Inang telah disusun Allahyarham Said Manaf dan tarian ini telah digarap semula oleh Prof. Dr. Anis Md Nor.
Sususan ragam dalam Inang Masri dan Inang Lama ini terdiri daripada pergerakan berjalan dalam tempo yang agak cepat. Selain itu, pergerakan tarian Inang Lama agak tangkas dengan memaparkan aksi berpasangan antara penari lelaki dan wanita.
Canggung
Camnggung adalah salah satu tarian yang popular berasal dari negeri Perlis. Dikatakan bahawa perkataan Canggung dalam perkataan Sam Sam bermaksud 'Menari'. Sam Sam adalah dialek campuran keturunan Thailand dan Melayu.
Tarian Canggung merupakan satu bentuk hiburan kepada penduduk kampung semasa musim menuai padi. Canggung telah menjadi sebahagian daripada himpunan tarian rakyat Malaysia melalui Kompleks Budaya Negara.
Tarian Canggung yang ditarikan di Kompleks Kebudayaan Negara adalah ciptaan semula oleh guru tari terkenal, Allahyarham Said Manaf apda tahun 1970an.
Joget Anak Derhaka (Joget Selendang)
Joget Anak Derhaka ini berasal dari lagu Joget Anak Derhaka. Olahan tarian ini diambil daripada Joget Jinak Merpati yang ditarikan oleh Kumpulan Sri Tarinas Kuching, Sarawak yang telah memenangi pertandingan tarian pada tahun 1976.
Olehan semula tarian ini telah dilakukan pada tahun 1977 oleh Allahyarham Cikgu Ahmad Omar di Kompleks Budaya Negara.
Walinong Sari
Lagu Walinongsari adalah lagu rakyat yang berasal dari negeri Pahang. Lagu ini menceritakan kisah seorang puteri yang diberi nama Waliniongsari yang cantik jelita dan berasal dari Inderapura. Puteri Walinongsari juga merupakan seorang puteri yang gagah berani, pandai bermain senjata seperti keris, melambung lembing dan mahir dalam seni mempertahankan diri Silat Gayung.
Tarian Walinongsari ini menggambarkan keindahan dan keayuan dayang-dayang puteri bermain di taman dan menceritakan keayuan Puteri Walinongsari.
Bongai atau dikenali sebagai Rentak Kuda adalah nyanyian rakyat yang menjadi identiti masyarakat Melayu di Negeri Sembilan. Bongai atau rentak Kuda adalah suatu genre puisi lama, khususnya pantun yang dinyanyikan secara berbalas-balas diiringi muzik yang khusus dengan membawakan pelbagai melodi lagu.
Lagu Bongai Si Hitam Manis ini menceritakan kecantikan gadis-gadis Negeri Sembilan, manakala tariannya pula menggambarkan suasana usik-mengusik anak muda selesai penat bekerja di bendang.
Lagu rakyat Burung Kenek-Kenek ini adalah ciptaan Roslan Madun, seorang penggiat dan penyanyi lagu-lagu rakyar yang terkenal di negeri Pahang. Lagu ini mengisahkan tentang nasihat-nasihat atau teladan yang perlu dicontohi dalam kehidupan seharian kita. penari mengimitasikan pergerakan burung yang terbang di sawah padi.
Ulek Serkap
Lagu Ulek Serkap merupakan lagu ciptaan asal Encik Mohd zamani Taha dan liriknya ditulis sendiri oleh penyanyi asalnya, Encik Ramli Ibrahim. Lagu ini merupakan cetusan idea dari upacara mebgulek serkap yang kebiasaaannya dilakukan oleh masyarakat petani di Bukit Payung, Terengganu dan diamalkan sehingga sekitar tahun 1980an.
Mengulek Serkap merupakan satu upacara ritual untuk menenangkan semangat padi. Tarian Ulek Serkap mengambil inspirasi daripada aktiviti petani menangkap ikan di bendang menggunakan serkap.
Pong Pong Along
Pong Pong Along adalah lagu rakyat negeri Perak. Ia menceritakan tentang keindahan nda keunikan masyarakat negeri Perak, khususnya dari segi bahasa adn cara pergaulan seharian. Lagu Pong Pong Along ini biasanya ditarikan di pesta-pesta keramaian.
[KREDIT FOTO & INFO: JKKN]
0 Comments