Hot Posts

6/recent/ticker-posts

KOPI ANTARA BENUA, SEGALANYA TENTANG KOPI


SEGALANYA tentang kopi. Berkonsepkan travelog informasi berkaitan dengan kopi dari pelbagai aspek termasuk geografi, budaya, sejarah, teknik, kafe dan juga resipi chef dan barista, RTM bakal menyiarkan program terbaharu bertajuk Kopi Antara Benua.

Belajar mengenal karektor rasa kopi menerusi program 13 episod yang bersiaran mulai 15 November ini, setiap Rabu, pukul 10.00 malam menerusi saluran TV Okey (Astro 109) yang turut menampilkan gandingan hos Bell Ngasri dan Chef Rashied.

Program berbentuk informasi serta kupasan maklumat ini membawa penonton pengembaraan merentas benua ke 6 buah negara dan 10 bandar besar Eropah dan Dubai. Pelbagai paparan serta pendedahan merangkumi rasa keunikan kopi, aspek budaya, sejarah dan teknik pemprosesan. 

Tambah menarik program ini juga mengetengahkan kafe-kafe yang terkenal dengan ‘Kopi’ serta demonstrasi resipi kopi dan pencuci mulut oleh chef jemputan.

Episod pengenalan membawa penonton terbang dari Malaysia ke Belanda yang mengambil masa selama 17 jam perjalanan. Misi utama mereka adalah untuk melawat serta merasai pengalaman di Festival Kopi Amsterdam. 

Mereka bermalam di bandar Hague serta meninjau beberapa buah kafe yang terdapat di sana. Penduduk Belanda sebenarnya terkenal sebagai Penggemar Kopi No. 1 di dunia. Temu ramah dijalankan dengan seorang barista di sebuah kafe. Kunjungan ke festival itu juga memaparkan aktiviti yang dijalankan di pameran tersebut. 

Kunjungan mereka singgah di Ben Hague yang dikenali sebagai ‘Royal City By The Sea’, bandar ketiga terbesar di Belanda yang kaya dengan sejarah dan budaya kopinya. 

Episod ini juga membawa penonton untuk mengenali dengan lebih dekat berkenaan Kopi Dutch, sejenis kopi popular yang berasal dari Belanda dan menemuramah pemilik kafe dan juga barista berkaitan dengan Kopi Dutch, demonstrasi mengenai kreativiti penghasilan ‘latte art;’ juga dipaparkan. 

Destinasi berikutnya di Paris, Perancis yang juga dikenali sebagai Kota Fesyen. Lokasi ini kaya dengan kafe di mana penduduk mereka menganggap kopi sebagai gaya hidup. Di situ lah tempat mereka berkumpul untuk berbincang dan berbahas tentang pelbagai jenis topik. 

Pengacara Bell Ngasri dan Chef Rashied mengunjungi beberapa buah kafe untuk membezakan antara kafe klasik dengan kafe ‘artisan’ yang semakin banyak wujud di Paris.





Kembara kopi diteruskan lagi dari Paris ke Turin, sebuah bandar perniagaan dan automotif di Itali. Ketika di Turin, Bell Ngasri dan Chef Rashied mengambil kesempatan melawat kafe tertua yang ditubuhkan sejak tahun 1763 iaitu Kafe Bicerin. Mereka sempat menikmati rasa Kopi Bicerin yang merupakan kopi tradisional dan tertua di Turin serta mendapat maklumat sejarah kopi tersebut. 

Sementara itu di Mantova, Itali, sebuah bandar yang diisytiharkan sebagai Pusat Kebudayaan Itali, mereka menerokai rasa kopi Americano yang juga dikenali sebagai Caffe Americano, American Coffee atau hanya Americano sahaja di sebuah kafe yang terkenal. 

Seterusnya mereka ke bandar Verona, Itali yang terkenal sebagai kota Cinta Romeo & Juliet. Verona merupakan kota yang kaya dengan seni kebudayaan pementasan opera dan karya seni lukisan. Ia juga merupakan salah satu Tapak Warisan Dunia yang dianugerahkan Unesco. Chef Rashied dan Bell menerokai rasa Cafe Latte iaitu minuman kopi campuran ‘espresso’ dengan susu stim. 

Tidak kurang menariknya kunjungan di kota Venice, Itali yang dikenali sebagai kota Air atau ‘City Of Water’. Segala sistem perhubungan di bandar ini adalah melalui terusan-terusan dengan pelbagai jenis perahu serta tidak mempunyai jalan raya untuk dilalui oleh mana-mana kenderaan. Mereka menerokai rasa ‘Macchiato’ iaitu sejenis minuman kopi campuran ‘espresso’ dan susu stim. 

Destinasi kembara kopi berikutnya ialah di Zagreb, Croatia pula. Mereka berkunjung ke rumah seorang kenalan Bell untuk menerokai rasa Kopi Turki. Rakan Bell masih menggunakan kaedah Turki untuk membuat minuman kopi terutamanya apabila tetamu datang ke rumah. 

Selepas itu, mereka berkunjung ke 2 buah kafe untuk merasai keenakan minuman Kava Smlijekom dan Bijela Kava. Di sini juga mereka meraikan satu budaya orang Croatia tentang kopi iaitu acara ‘Pay A Coffee With A Poem’ (kopi percuma dengan serangkap puisi) yang mengangkat martabat seni puisi dan sastera sesebuah masyarakat bagi memeriahkan ‘Hari Puisi Sedunia’ pada setiap 21. Mac. 

Lokasi Bell dan Chef Rashied singgah di bandar Budapest, Hungary di mana terdapat 500 buah kafe dan ia diibaratkan sebagai tempat wajib para penulis, penyair dan juga karyawan seni berkumpul dan bermesyuarat. 

Episod ini juga membawa penonton ke Universita Del Caffe yang popular di kalangan barista. Kursus dan latihan yang dijalankan oleh pihak universiti ini telah direka untuk menyumbang kepada pembangunan serta memperbaiki proses pengeluaran kopi secara berterusan. 

Masih lagi di Budapest, mereka meneruskan kembara kopi ke kafe-kafe klasik yang banyak terdapat di situ. Mereka telah berjaya menjejaki ‘New York Cafe’ yang juga merupakan ‘Kafe Paling Cantik di Dunia.’ Ia merupakan sebuah kafe yang popular di kalangan penyair, penulis dan juga editor akhbar. Pengacara juga menemu bual pemilik kafe sambil menikmati rasa Kopi Cili (Chilli Coffee) yang menjadi tarikan di ‘New York Cafe’. 

Setelah hampir 3 minggu Bell dan Chef Rashied terlibat dalam pengembaraan kopi terbaik di benua Eropah, tiba masanya mereka menjelajah ke Dubai di Timur Tengah. Sejarah mengatakan asal-usul kopi bermulanya di negara Arab sendiri dan biji kopi Arabica sememangnya menjadi siulan penggemar kopi di serata dunia. 

Mereka berkunjung ke ‘Souk Bur Dubai’ yang berlokasi di laluan sungai yang cukup terkenal di kalangan pelancong. Dalam episod akhir mereka berkunjung ke Muzium Kopi Dubai yang terletak di kejiranan Al-Fahidi. 

Mereka menemu ramah pemilik muzium iaitu Khalid Al Mulla yang berkongsi pelbagai maklumat tentang muzium yang menempatkan koleksi sejarah kopi, peralatan antik, alat pengisar serta berbagai lagi. Selepas itu, mereka juga merasai pengalaman tentang cara penyediaan kopi secara tradisional yang dilakukan oleh masyarakat Utopia. 



TRAVELOG KOPI ANTARA BENUA
Episod: 13      
Hari: Setiap Rabu (Mulai 15 November 2018)
Masa: 10 malam 
Saluran: TV Okey (Astro 109)
Terbitan: RTM    
Pengacara:  Bell Ngasri dan Chef Rashied.


[KREDIT: RTM]

Post a Comment

0 Comments