Hot Posts

6/recent/ticker-posts

DIARI MARIN, DOKUMENTARI KHAS KERJAYA DALAM BIDANG MARIN



KERJAYA dalam bidang marin dan kelautan sememangnya menarik untuk dikongsikan dengan penonton. Ia termasuklah yang menggalas tanggungjawab sebagai Pasukan Khas Laut (PASKAL), pegawai keselamatan pelabuhan, pegawai polis marin, juru kimpal dalam air, jurulatih penyelam, dan jurupandu robot di dasar laut. 

Bertugas di persekitaran yang mencabar pada masa yang sama tidak mengetepikan aspek keselamatan, perkongsian pengalaman bersama individu berani yang banyak berjasa ini dapat diikuti menerusi tayangan dokumentari terbaharu bertajuk “Diari Marin” yang menemui penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 9 November ini, setiap Jumaat, pukul 10.30 malam menerusi TV1.

Program 13 episod ini bermula dengan memaparkan maklumat mengenai sejarah, aktiviti dan operasi Pasukan Khas Laut atau PASKAL. Pasukan ini berfungsi di bawah Tentera Laut Diraja Malaysia dan berperanan menjaga keselamatan pangkalan-pangkalan TDLM, pelantar minyak serta menjalankan operasi-operasi keselamatan di dalam dan di luar negara.

Ia kemudiannya mengajak penonton mengetahui tugas-tugas seorang Pegawai Keselamatan Pelabuhan. Pegawai ini menjamin keselamatan kakitangan, perniagaan dan aset syarikat serta kepentingan pelanggan yang menggunakan sesuatu pelabuhan.

Episod berikutnya perkongsian tugas seorang Pegawai Polis Marin yang mengawal keselamatan, membuat rondaan, pemeriksaan dan menjalankan operasi membanteras kegiatan jenayah yang berlaku di sempadan perairan negara. 

Istimewanya ia turut menonjolkan sisi kerjaya dan tugas-tugas serta pengalaman seorang wanita juru kimpal dalam air. Kerjaya ini menawarkan peluang kemajuan yang jauh lebih tinggi berbanding dengan mana-mana kerjaya yang lain kerana ia merupakan salah satu kerjaya yang mempunyai permintaan yang luar biasa lagi membahayakan di samping terpaksa berhadapan dengan tekanan mental semasa melaksanakan tugas. 

Siapa kata tugas seorang yang membaiki kapal laut itu mudah? Episod ini menerangkan kerjaya memastikan keadaan kapal yang dibaik pulih kembali beroperasi dengan baik dan sentiasa komited untuk memberi perkhidmatan yang berkualiti tinggi.

Ikuti juga kerjaya, latihan yang dilalui oleh pelatih serta pengalaman seorang jurulatih penyelam. Ia turut memaparkan pandangan rakan-rakannya. Sebagai seorang Jurulatih Penyelam, waktu bekerja tidak menentu walaupun berpandukan jadual. Waktu latihan sering berubah kerana bergantung pada keadaan cuaca dan keadaan air pasang surut. 

Dekati tugas seorang Pengendali Kren Pelabuhan. Pengendali Kren Dermaga bertugas di persekitaran yang mencabar dalam melaksanakan proses memuat dan memunggah bekalan dengan tangkas dan pada masa yang sama tidak mengetepikan aspek keselamatan. Kepentingan tugas ini memberi sumbangan dalam memastikan operasi pelabuhan, perkapalan dan perdagangan berjalan dengan lancar. 

Mungkin ada di antara anda yang pertama kali mendengar kerjaya dan tugas seorang jurupandu robot di dasar laut. ROV atau 'Remotely Operated Vehicle' adalah sejenis robot yang melakukan kerja-kerja yang tidak boleh dilakukan oleh manusia apabila berada di dasar laut yang dalam seperti membuat pemeriksaan, membuat laluan untuk kabel dan membuat kerja-kerja di dasar laut. 

Ada juga tentang ugas seorang Pegawai Operasi Pelabuhan dan operasi sebuah pelabuhan yang bertanggungjawab memastikan kelancaran operasi perkapalan serta operasi gudang dan lapangan terbuka dikendalikan dengan baik. Tugasnya akan bertambah sekiranya terdapat operasi import serta eksport giat dijalankan.

Bukan mudah bergelar seorang komander kapal Tentera Laut Diraja Malaysia. Antara tugas-tugas Unit Markas Selam dan Peperangan Periuk Api Kapal Diraja [KD] DUYONG. Kapal ini bertanggungjawab melaksana semua aktiviti berkaitan dengan penyelaman, kejuruteraan dan pemusnahan bahan letupan air serta pemusnahan periuk api.

Seterusnya paparan tentang kerjaya, tugas dan pengalaman seorang jurutera kapal serta pendapat rakan-rakan sekerjanya. Melaksanakan tugas membaik pulih enjin kapal dalam jangka masa yang terhad dan dalam masa yang sama memastikan kualiti hasil kerja memuaskan dan menepati kehendak pelanggan.

Bagaimana pula kisah pengalaman seorang Pegawai Marin Pelabuhan yang memberi perkhidmatan paling awal kepada kapal dagang yang datang masuk ke kawasan pelabuhan dan memberi perkhidmatan paling akhir apabila kapal dagang ingin keluar dari kawasan pelabuhan. Ini bermakna segala pergerakan kapal dagang keluar dan masuk ke kawasan pelabuhan merupakan tanggungjawab utama Pegawai Marin Pelabuhan.

Episod akhir membawa kepada tugasan seorang ketua Unit Gempur Marin di bawah pasukan Polis Marin yang memaparkan maklumat, tugas-tugas dan aktiviti harian Unit Gempur Marin [UNGERIN] di bawah pasukkan Polis Marin. 

Ia ditubuhkan atas keperluan semasa berikutan kejadian serangan lanun yang terus berleluasa. Tugas unit bukan sahaja mengawal keadaan di darat malah membantu pasukan keselamatan di laut bagi memastikan pengganas tidak dapat meloloskan diri melalui jalan air.



DIARI MARIN
Episod: 13      
Hari: Setiap Jumaat (Mulai 9 November 2018)
Masa: 10.30 malam 
Saluran: TV1
Terbitan: RTM 


[KREDIT: RTM]

Post a Comment

0 Comments