DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) akan mengadakan Konsert Suara Anak pada 20 Oktober 2018 (Sabtu) bertempat di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana Kuala Lumpur bermula jam 8.30 malam.
Konsert ini adalah merupakan gabungan persembahan artis lama yang popular satu masa dahulu dan juga barisan artis yang sedang mencipta nama pada masa kini. Bersesuaian dengan temanya iaitu Konsert Suara Anak Malaysia, seramai 8 orang artis lelaki dan wanita dari pelbagai kaum dengan pelbagai genre seperti pop, rock dan balada akan mengadakan persembahan pada konsert tersebut.
Konsert ini akan dihoskan oleh DJ Sonic dan DJ Nadia serta membariskan artis-artis seperti Dato’ David Arumugam, Francisca Peter, Siti Nordiana, Syafiq Farhain, Bagio Damasutra, Yabang Khalifah, Suki Low dan Santesh. Lebih menarik lagi, persembahan semua artis ini akan diiringi oleh Orkestra Kuala Lumpur dan juga artis budaya DBKL.
Penganjuran konsert ini antara lain bertujuan untuk memberi hiburan santai secara percuma kepada wargakota, selain memberi ruang dan peluang kepada artis tempatan membuat persembahan. Konsert ini diadakan secara percuma dan semua wargakota dan orang ramai dijemput hadir dan dijangkakan seramai 2,500 orang akan memenuhi Panggung Anniversari bagi menyaksikan persembahan artis-artis tersebut
Konsert percuma di bawah program `KL Rhythm Nitez’ anjuran Jabatan Kebudayaan Kesenian, Pelancongan dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) ini bertujuan mengaktifkan kembali Panggung Anniversari sebagai pentas hiburan popular sekitar 1970-an hingga 1990-an.
Orang ramai bolehlah mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari laman media sosial Instagram klcatsevents dan berhubung dengan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) di talian 03-41055442 atau melalui email persatuansenimanmalaysia@gmail.com
0 Comments