SEGUNUNG debar kian terasa oleh penyanyi dan komposer popular kelahiran Singapura, Imran Ajmain saat menghitung hari bertujuan merealisasikan konsert mini balada Melayu; Sepuluh Tahun Pertama yang akan diadakan di Studio Recital, Esplanade, Singapura pada 13 Julai ini.
Konsert mini tersebut didedikasikan rentetan ulangtahun sedekad penglibatan Imran menjunjung kecintaan total sebagai penggiat seni selain bersempena minggu Pesta Raya - Festival Seni Melayu yang berlangsung di Esplanade pada 12 hingga 15 Julai ini.
Imran yang mula dikenali dengan karya sulung, Sudah Tu Sudah dan diikuti Seribu Tahun sekitar tahun 2006 bagaimanapun meluah kelegaan kerana penjualan tiket konsert mini itu mendapat sambutan membanggakan daripada pengikutnya sebaik sahaja dilancarkan di atas talian sejak sebulan lalu.
Menurut Imran yang juga menggalas jawatan Pengarah Kreatif SukaSucre Group of Companies, dia mengaku berdebar menanti hari berlangsung konsert mini Sepuluh Tahun Pertama yang dianggap cukup signifikan dalam profil serta kerjaya seninya.
“Sejujurnya, saya berasa teruja dan waktu sama berdebar apabila berpeluang untuk muncul di dalam sebuah konsert mini sulung apatah lagi ia diadakan di Esplanade yang merupakan salah satu impian saya selepas bergelar artis.
“Begitupun, perasaan berdebar ini berjaya membangkitkan semangat luar biasa buat saya selepas mengetahui tiket sudah terjual hampir 90 peratus sebaik sahaja mula dilancarkan. Lantaran itu, saya harus berjuang sehabis daya pada persembahan itu nanti,” katanya ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini.
Bercakap tentang persediaan konsert mini itu, Imran menjelaskan, dia akan diiringi sekitar 15 pemuzik profesional dari Singapura sepanjang persembahan berdurasi hampir dua jam ini.
“Saya kini lebih kerap berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Singapura untuk menghadiri sesi latihan bersama pemuzik selain bagi mendapatkan keserasian kami apabila bergabung di atas satu pentas sama nanti.
“Pada waktu sama, saya akan lebih mengambil berat terhadap soal kesihatan supaya dapat mengekalkan stamina ketika membuat persembahan nanti. Saya meletakkan ekspektasi tinggi untuk memberi kepuasan kepada peminat yang hadir,” ujar Imran.
Tiket berharga 27SGD (RM80) boleh dibeli dengan menghubungi Esplanade Box Office di talian (65) 68288389 atau emel boxoffice@esplanade.com. Sementara itu, para pelajar dan golongan senior pula boleh mendapat diskaun dengan harga 21SGD (RM63).
Menariknya, lagu-lagu terbaharu Imran juga bakal didendangkan semasa konsert mini ini termasuk Sentiasa Merinding dan Intan & Perak.
Sebuah slot khas bakal dipersembahkan oleh Imran yang merupakan anak kepada penerbit, penyusun muzik dan penggubah lagu terkenal untuk para penyanyi era 80-an, Ahmad Husaini Ajmain sebagai tribut serta memberi apresiasi tertinggi buat arwah bapanya.
Populariti arwah bapa Imran mengharum indah selepas bekerjasama dengan nama-nama besar industri seni seperti Othman Hamzah, Sweet Charity, Salwa Abdul Rahman, Salimah Mahmood, Azean Irdawaty dan ramai lagi.
Imran yang pernah membikin lagu buat Taufik Batisah, SleeQ, Hady Mirza dan ramai lagi sebelum ini telah melancarkan empat buah album.
Dan album kelimanya sedang direncanakan untuk pelancaran dijadual penghujung tahun ini.
[KREDIT FOTO: @theshahrulizzat untuk @ss_creatives]
0 Comments