Hot Posts

6/recent/ticker-posts

ENCORE MELAKA KUMPUL DANA PUSAT HEMODIALISIS YAYASAN TOH PUAN ZURINA


TEATER bertaraf dunia yang baru dibuka, Encore Melaka di Impression City, dipersembahkan oleh Yong Tai Berhad, telah mengadakan tiga pertunjukan tertutup pertamanya pada hujung minggu lalu dan telah berjaya mengumpulkan RM60,000.

Dana ini adalah untuk membantu Yayasan Toh Puan Zurina, sebuah pusat hemodialisis yang menawarkan rawatan dialisis untuk pesakit buah pinggang berpendapatan rendah. 

"Encore Melaka bukanlah hanya sebuah pertunjukan. Ia bertujuan menginspirasikan dan membantu komuniti-komuniti di seluruh Melaka. Tujuan penubuhan Yayasan Toh Puan Zurina ini sama dengan niat saya, iaitu untuk berbakti.  
Mereka ingin membantu para pesakit yang tidak mampu mendapatkan rawatan yang  boleh menjadi mahal dalam jangka masa yang panjang. Ini adalah usaha kami untuk membantu pusat ini dengan misinya. 
Dana yang dikumpulkan melalui pertunjukan-pertunjukan yang telah diadakan akan mampu membantu pusat ini mendapatkan ubat-ubatan yang terbaik untuk para pesakitnya," kata Datuk Wira Boo Kuang Loon, Ketua Pegawai Eksekutif Yong Tai Berhad dan salah seorang penaung Encore Melaka.



Pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah kerajaan Melaka telah mendermakan RM10 setiap seorang kepada pusat dialisis Yayasan Toh Puan Zurina dan telah menjadi penonton-penonton pertama pertunjukan hebat Encore Melaka yang merupakan penceritaan semula kisah-kisah terkenal negeri Melaka. 

Ia diarahkan oleh pengarah tersohor, Wang Chaoge (Upacara Pembukaan Sukan Olimpik Beijing 2008). Pelajar-pelajar bertuah ini telah menyaksikan persembahan 70 minit yang mengagumkan sambil belajar tentang salasilah Melaka dalam suasana teater yang lengkap dengan tarian berwarna-warni dan lagu-lagu mengasyikan. 

Sebanyak 44 sekolah telah dijemput ke pertunjukan ini, antaranya SJKC Ayer Keroh, SMK St Francis, Sekolah Tinggi Pay Fong dan SJKC Malim.

"Encore Melaka dan Yayasan Toh Puan Zurina berkongsi nilai yang sama — kami mahu membantu masyarakat sekeliling dengan apa jua cara pun. Kami terharu dan berterima kasih kerana Encore Melaka sudi membantu Melaka dan rakyatnya serta telah membantu memberikan sokongan yang kami perlukan. 
Dengan dana yang diberikan, kami mampu mendapatkan ubat-ubatan yang terbaik untuk para pesakit kami dan membantu pusat kami beroperasi dengan sepenuhnya," kata YBhg. Datuk Hjh Radhuana Binti Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Toh Puan Zurina. 



Teater Encore Melaka mempunyai pemetaan tayangan video yang inovatif dan menakjubkan, serta set-set hidrolik multipentas, dan teknik-teknik pencahayaan dan akustik yang canggih. Ia teater terbesar Asia yang mampu memuatkan lebih daripada 2,000 orang penonton di atas platform penonton istimewa yang berputar 360-darjah.

Teater ini akan dibuka kepada orang ramai mulai 1 Julai 2018. Ia terletak di lokasi paling terkenal di Melaka iaitu di tepi pantai di Kota Melaka, 3.5km dari Jalan Jonker, di No. 1, Jalan KSB, Impression 8, Impression City @ Kota Syahbandar, 75200, Melaka. 

Ia merupakan projek pembangunan pelancongan dan kebudayaan berintegrasi terbaharu daripada Yong Tai Berhad.  

Untuk maklumat lebih lanjut, layari  https://encore-melaka.com




Tentang Encore Melaka 

Sebagai Siri Impression yang pertama diadakan di luar negara China, Encore Melaka, terletak berhadapan Selat Melaka ini adalah sebuah persembahan yang mempersonakan dengan pelbagai siri riwayat kehidupan tempatan yang menyentuh sanubari. 

Ia bukanlah semata-mata pertunjukan budaya untuk pelancong, tetapi juga mencerminkan sebuah masyarakat yang meraikan kepelbagaian dan keterangkuman.

Encore Melaka Siri Impression adalah pengalaman visual dan auditori yang mengasyikkan buat para penonton. Penonton antara lain akan dapat melihat unjuran pemetaan yang mengagumkan, peralatan pementasan yang halus dan kostum yang dipilih dengan teliti, serta pengalaman di dalam panggung berputar 360-darjah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara. 

Inklusiviti Melaka pula dipamerkan menerusi gabungan tarian tradisional dan kontemporari yang dipersembahkan oleh 200 orang penari.




Tentang Yayasan Toh Puan Zurina

Yayasan Toh Puan Zurina diasaskan oleh Yang Berbahagia, Gabenor Melaka, T.Y.T. Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob pada tahun 2010 dengan misi untuk menyediakan rawatan hemodialisis yang terbaik dan berpatutan untuk semua pesakitnya. Pada tahun 2015, yayasan ini telah membina pusat hemodialisis sendiri bersama derma daripada orang awam sebanyak RM13 juta. 

Di pusat ini, rawatan hemodialisis percuma diberikan kepada para pesakit yang merupakan penduduk negeri Melaka dan berpendapatan rendah atau tidak mempunyai pendapatan tetap. Pusat ini juga mendidik dan menyediakan khidmat nasihat dan kaunseling kepada para pesakit, serta rawatan-rawatan susulan. 


[KREDIT: Encore Melaka]

Post a Comment

0 Comments