Hot Posts

6/recent/ticker-posts

DUNIA RODA NADIA HASNAN


SEGALANYA tentang aktiviti dan sukan yang berkaitan roda dalam sebuah program travelog terbaharu, Dunia Roda menemui penonton setia saluran RTM mulai 30 Jun ini, setiap Sabtu, pukul 2.00 petang menerusi TV Okey (Astro 109).

Menampilkan hos Nadia Hasnan, 13 episod program ini berkongsi antara jenis aktiviti dan sukan yang berkaitan sukan bermotor, sukan berbasikal, kereta mainan dan kawalan jauh serta peminat kereta atau motor klasik. 

Pengacara akan menyertai individu atau kumpulan terbabit ke sesuatu lokasi dan merasai sendiri pengalaman serta pengendalian kenderaan tersebut. Ia juga melibatkan sesi wawancara dengan individu terbabit untuk berkongsi pengalaman penglibatan mereka.

Episod pengenalan menampilkan topik ‘Pacuan 4 Roda’ dengan berkunjung ke bengkel Kay Adventure berkongsi tentang persiapan yang dilakukan sebelum memulakan sesuatu ekspedisi. Beliau juga menerangkan tentang konsep serta saranan pengubahsuaian yang dilakukan terhadap sesebuah kenderaan pacuan 4 roda. 

Nadia bersama pasukan 4X4 melalui jalan ‘offroad’ sejauh 15km. Beliau berpeluang memandu sendiri kenderaan tersebut merentasi sungai dan trek berlumpur. Kenderaan yang tersangkut juga perlu melakukan proses ‘winching’ untuk mengatasi masalah tersebut. 

Motor Honda Cub merupakan antara model yang terlaris jualannya di seluruh dunia. Nadia berkunjung ke Ipoh untuk mengenali lebih dekat tentang dunia Honda Cub. 

Nadia menemu ramah pemilik bengkel ubahsuai motor Honda Cub di Ipoh yang sudah mengubahsuai lebih 60 buah Honda Cub model C70, bertemu pengumpul koleksi Honda Cub termasuk model C70 seawal tahun 1978 dan merasai pengalaman berkonvoi bersama dengan ‘Kelab Ipoh Street Cub’ yang menampilkan pelbagai jenis motor yang diubahsuai berdasarkan kepada kreativiti masing-masing.

Dalam topik ‘Motosikal Lasak’ yang semakin berkembang maju di Malaysia, Nadia berkunjung ke bengkel AXE Motorworks berkongsi maklumat berkaitan dengan sukan tersebut yang pernah memenangi beberapa kejuaraan. 

Nadia berkesempatan ke litar / trek motosikal lasak dan melihat sendiri satu pertandingan yang dijalankan. Beliau berpeluang menemu bual beberapa orang pelumba motosikal lasak yang berkongsi pengalaman mereka sepanjang penglibatan mereka dalam sukan tersebut. 

Diteruskan dalam topik ‘Basikal’ pula Nadia menunggang basikal jenis ‘mountain bike’ berada di kawasan berbukit bersama Kelab KMPB untuk mencuba pengalaman mengayuh basikal jenis tersebut. 

Ahli kelab berkongsi maklumat tentang sukan MTB ini berkaitan ciri-ciri basikal, kesesuaian, persediaan dan penggunaan gear yang betul. Nadia berpeluang merasai aktiviti ‘kayuhan malam’ bersama ahli ‘Kuantan Foldies Bike Club’ yang menggunakan basikal lipat. Ia menjadi semakin popular memandangkan jenis basikal tersebut mudah dibawa bersama dengan kereta berdasarkan fungsinya boleh dilipat bagi mendapatkan saiz yang lebih kecil.



Tambah menarik Nadia berkunjung ke sebuah bengkel motor Vespa yang dikenali sebagai Vespa Empire dan berkongsi pelbagai maklumat termasuk sejarah Vespa serta penglibatannya. Nadia juga berkunjung ke sebuah kafe berkonsepkan ‘vintage’ iaitu Abah & SonsCo. 

Antara barangan ‘vintage’ yang dipamerkan di kafe tersebut ialah beberapa buah motor Vespa serta aksesorinya. Nadia cuba belajar menunggang Vespa yang diakuinya agak sukar untuk mengendalikannya. Beliau kemudiannya berkonvoi ke Dataran Merdeka untuk perjumpaan Vespa dengan fesyen pakaian ‘vintage’ yang tersendiri.

Saksikan juga kunjungan Nadia ke ATV Adventure Park Larut, Taiping, Perak mengupas lanjut topik ATV. Nadia berkongsi maklumat tentang cara penggunaan dan faktor keselamatan. Di sana Nadia berpeluang untuk memandu sendiri ATV dengan bantuan jurulatih di kawasan persekitaran untuk mendapat pengalaman pertama. 

Ikuti perkongsian pengalaman Nadia dalam episod lain antaranya tentang go-kart, kereta mini, ladies bikers, Pocket Bike, dan buggy.

Akhir sekali topik istimewa iaitu ‘Proton’ dikupas oleh Nadia. Proton menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia di mana Proton Saga merupakan model kereta nasional pertama yang dikeluarkan pada tahun 1985. 

Proton Saga mencipta sejarah sebagai model kereta paling lama tempoh pengeluarannya. Nadia melawat ke Galeri Pameran Proton berkongsi maklumat seperti sejarah dan perkembangan Proton. Nadia juga berpeluang menemui pemenang peraduan ‘Pemilik Proton Paling Lama’ yang masih menggunakan kereta Proton Saga yang dibeli mereka pada tahun 1985. 

Di akhir rancangan, Nadia bertemu dengan sekumpulan individu yang mempunyai kereta Proton Saga dan berpeluang berkonvoi bersama mereka.



Travelog Dunia Roda
Episod: 13    
Hari: Setiap Sabtu
Masa: 2.00 Petang 
Saluran: TV Okey
Terbitan: RTM  
Pengacara: Nadia Hasnan


[KREDIT: RTM]

Post a Comment

2 Comments