Hot Posts

6/recent/ticker-posts

NAD ZAINAL, CITARASA MALAYSIA


PELAKON Nad Zainal mencabar keupayaan diri menjadi hos program disiarkan RTM sepanjang Ramadan ini. 

Menerusi program diberi tajuk Citarasa Malaysia yang sedang bersiaran setiap Selasa hingga Khamis, pukul 9.00 pagi di TV Okey (Astro 109), Nad Zainal meninjau sesuatu tempat untuk mempelajari cara-cara pembuatan kek dan biskut raya yang akan diajar oleh cef profesional atau tukang masak berpengalaman.

Dalam episod pertama, Nad membawa penonton ke Puchong, Selangor ke premis milik Chef Fairuz bagi mempelajari bagaimana membuat kek sebagai persediaan menyambut hari raya. Chef Fairuz telah menunjukkan cara-cara dan teknik-teknik membuat dua jenis kek klasik Perancis iaitu Kek L’Opera dan Kek Financiers. 

Kek L’Opera adalah kek yang berlapis-lapis dan diantaranya disapukan bahan coklat. Kek Financiers pula merupakan sejenis kek ringkas seakan-akan kuih baulu kita di sini tetapi dimasukkan ke dalam acuan kertas dan ditabur hiasan di atasnya.

Seterusnya Nad menemui Puan Zaidah dari ‘Simply Sugar Baking Studio’ bagi mempelajari cara-cara membuat kuih tradisional yang diberi nafas baru iaitu Kek Cawan Ondeh-ondeh. Walaupun kek ini tampil dengan rupa yang moden tetapi rasanya tetap seperti Ondeh-ondeh tradisional. 

Di tengah-tengah kek cawan ini dimasukkan juga gula Melaka sebagaimana pembuatan kuih Ondeh-ondeh. Hidangan kedua yang ditunjukkan oleh Puan Zaidah sebagai persiapan menyambut hari raya adalah ‘Almond Butter Drop’. Hidangan ini adalah inovasi daripada Kuih Dahlia ataupun Semperit tetapi di atasnya diletakkan biji badam.




Penonton kemudiannya dibawa ke Melaka untuk mengenali dan mempelajari cara-cara membuat dua jenis kuih tradisi daripada Mak Itam iaitu Kuih Mutai dan Halwa Muskat. Kedua-dua kuih ini kebiasaannya disediakan pada hari-hari perayaan sahaja. 

Di sini juga turut dikongsi cara membuat dua jenis lagi kuih tradisi iaitu Kuih Dangai dan Kuih Topi. Mak Itam belajar memasak daripada arwah emaknya yang merupakan seorang tukang masak bagi majlis kenduri-kendara di kampungnya. 


Citarasa Malaysia singgah ke Muar, Johor menemui Mak Long Ju bagi mempelajari cara-cara membuat dua jenis kuih tradisional iaitu Kuih Wajik dan Kuih Tumpi. 

Dalam episod di FELDA Tementi, Triang, Pahang, Nad bertemu Mak Jah belajar bagaimana membuat dua jenis kuih tradisional iaitu Kuih Deram dan Kuih Karas yang menyelerakan.

Perjalanan Nad mempelajari pembuatan kek dan biskut turut berada di Sungai Besar, Selangor. Kali ini Nad menemui Cef Hamdan bagi mempelajari cara-cara membuat dua jenis biskut tradisional iaitu Biskut Kelapa dan Batang Buruk. 

Sementara itu juga penonton berpeluang untuk mengenali dan mempelajari cara-cara membuat dua jenis biskut tradisional daripada Mak Lang. Biskut yang dimaksudkan adalah Biskut Suji dan Biskut Buah Kana. Kedua-dua biskut ini biasanya disediakan sebagai hidangan pada hari raya.

Ikuti beberapa lagi episod menarik program ini di TV Okey (Astro 109). 



Program Citarasa Malaysia 
Hari: Setiap hari sepanjang Ramadan
Masa: 9.00 Pagi 
Saluran: TV Okey (Astro 109) 
Terbitan: RTM  
Pengacara: Nad Zainal


[KREDIT: RTM]

Post a Comment

0 Comments