SEKALI lagi, saluran A+E Networks, Lifetime Asia dan Canon akan bekerjasama dalam penerbitan sebuah rancangan enam bahagian yang berkonsepkan digital, Who Runs The World.
Siri ini akan bermula secara digital sebelum episod sepenuhnya dilancarkan pada suku ketiga tahun ini. Bertemakan aktiviti kecergasan dan gaya hidup, siri ini akan dihoskan oleh personaliti media sosial terkenal di Singapore, Yeoh Mong Chin.
Dalam siri ini, beliau akan mengembara ke enam buah negara di Asia Tenggara untuk menyertai perlumbaan marathon bersama masyarakat setempat.
Dalam setiap episod selama 30 minit, Mong Chin akan melawat negara-negara yang berbeza termasuk Malaysia. Bagi membantu persediaannya sebelum acara marathon, Mong Chin akan berjumpa dengan beberapa personaliti tempatan yang mempunyai minat tersendiri.
Antaranya, beliau akan mendapatkan senarai lagu daripada pemuzik tempatan, seluar larian dengan rekaan terkini daripada pereka fesyen terkenal dan banyak lagi. Bukan itu saja, mereka juga akan membawa Mong Chin ke tempat-tempat menarik yang jarang dikunjungi pelancong. Semuanya akan dirakam dan dimuatkan ke akaun Instagram beliau untuk tatapan peminat.
Menerusi siri ini, penonton dapat menyaksikan rakaman di sebalik tabir dan melihat hasil kerja pasukan produksi dan Mong Chin secara langsung.
Buat pertama kalinya, Lifetime akan menggunakan saluran digital bagi memaparkan kandungan eksklusif secara langsung di lokasi semasa siri ini dirakam. Pendekatan ini membolehkan penonton merasai pengalaman yang lebih menyeluruh dan mengujakan.
“Kali ini, kami mengambil pendekatan untuk memanfaatkan platform media sosial yang sedia ada dan menggabungkan rakaman digital dan episod di televisyen bagi memberikan pengalaman tontonan berbeza kepada penonton.
Golongan milenial sangat mementingkan pengalaman dan mereka sukakan kandungan terbaru yang mengikuti peredaran zaman.
Dengan menggunakan platform berbeza dan penyampaian yang lebih dekat dengan penonton, kami percaya rancangan ini akan memberikan pengalaman baharu kepada para penonton muda.
Secara tidak langsung ia juga akan membantu meningkatkan lagi nilai jenama kami,” kata Prem Kamath, Timbalan Pengarah Pengurusan, A+E Networks Asia.
“Kami teruja untuk meneruskan kerjasama dengan A+E Networks dalam menghasilkan kandungan yang bersesuaian dengan generasi muda masa kini yang sukakan fotografi dan aktif berkongsi kehidupan seharian mereka di media sosial.
Siri ini mengikuti keperluan masa kini dan pastinya akan mendapat sambutan baik daripada penonton,” kata Naohiko Hayashi, Pengarah Kanan dan Pengurus Besar Regional ICP Sales and Marketing Center, Canon Singapore Pte Ltd.
Who Runs The World merupakan kerjasama terbaharu di antara A+E Networks Asia dan Canon. Sebelum ini, mereka pernah menghasilkan siri Photo Face Off selama empat musim. Penerbit siri tersebut, Beach House Productions, akan turut menerbitkan Who Runs The World untuk A+E Networks Asia.
Who Runs The World akan mula menjalani penggambaran April ini dan akan ditayangkan di Lifetime Asia pada suku ketiga tahun 2018.
0 Comments