RTM mengajak penonton meneroka keindahan alam semula jadi sambil meresapi nilai estetika sesuatu budaya bersama Kelab 4X4 Ekstrem Tawau dalam siri dokumentari baharu, Pantas – Pacuan Tanpa Sempadan bersiaran setiap Isnin, Selasa dan Rabu, bermula 9 April, pukul 11.05 pagi.
Dihoskan oleh Fiza Saad, program setengah jam ini membawa penonton dalam misi menawan Malaysia, Singapura dan Thailand melalui penjelajahan pacuan empat roda. Ekspedisi bermula dari Tawau ke Kota Kinabalu yang turut disertai oleh PDRM dan AKPK dan telah dilancarkan oleh YB Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching, Ahli Parlimen Tawau merangkap Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.
Pada episod pengenalan, sementara menunggu persiapan kenderaan untuk berlepas, Fiza sempat mengunjungi Hutan Simpan Taman Bukit Tawau yang menyimpan pokok tropika tertinggi di dunia.
Seterusnya Fiza ke Kampung Tinagat bagi melihat Rumah Api Batu Tinagat yang dibina pada tahun 1916 dan digunakan sehingga 2007. Keesokannya kenderaan-kenderaan tersebut dihantar ke pelabuhan untuk dibawa dengan kapal ke Pelabuhan Klang.
Masih di Kota Kinabalu, Fiza mengunjungi daerah Penampang yang terkenal dengan masyarakat daripada suku kaum Kadazandusun. Kadazandusun merupakan bumiputera yang terbesar di Sabah. Seterusnya Fiza ke Bandar Donggongon iaitu pekan utama di daerah Penampang.
Fiza menuju ke Tamu Donggongan yang merupakan pasar tamu terbaik di Sabah. Di sini dijual berbagai hasil pertanian daripada penduduk-penduduk Penampang dan sekitarnya. Fiza turut mencuba makanan tradisional di sini. Kemudiannya Fiza meronda di tepi laut di Bandar Kota Kinabalu sambil menikmati pemandangan laut yang indah di waktu petang.
Selepas menjelajah beberapa lagi tempat di Sabah seperti Tuaran, Kota Belud, Ranau, Sandakan dan Semporna, kenderaan ekspedisi telah sampai di Pelabuhan Klang. Seterusnya konvoi bergerak ke Damansara sebelum meneruskan penjelajahan ke selatan tanah air.
Pada sebelah malamnya diadakan majlis perasmian dan pelancaran ekspedisi serta majlis makan malam untuk peserta-peserta. Keesokan paginya konvoi telah dilepaskan dengan rasminya oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri Sabah.
Konvoi berhenti sebentar di Putrajaya dan seterusnya di Seremban untuk berkunjung ke Taman Seni Budaya Negeri Sembilan. Meneruskan perjalanan, konvoi bergerak menuju ke Melaka dan destinasi berikutnya adalah Johor Bahru.
Sebelum ke Pantai Timur, konvoi berjaya menakluk Singapura. Konvoi singgah di mercu tanda utama Singapura iaitu di Merlion Park. Setelah kembali ke Johor Bahru, Fiza ke Bazar JB atau lebih dikenali sebagai Bazar Karat.
Keesokan paginya perjalanan diteruskan ke Kuantan dengan jarak 322 km. Dalam perjalanan, konvoi terserempak dengan kereta yang terbabas dan para peserta telah membantu menarik kereta itu keluar dari dalam parit.
Kemudiannya mereka meneruskan perjalanan dan sempat singgah di Pantai Cherating untuk bergambar kenangan serta mencuba aktiviti meluncur ombak. Dari Cheranting perjalanan diteruskan ke Tanah Merah, Kelantan dan dijangka tiba di sana pada malam hari.
Selepas lima jam memandu, konvoi tiba di Tanah Merah, Kelantan dan disambut oleh ahli-ahli dari Kelab 4x4 Tanah Merah. Turut diraikan oleh pihak Majlis Daerah Tanah Merah. Mereka bermalam di tapak perkhemahan tidak jauh dari Bandar Tanah Merah.
Pagi esoknya konvoi telah diiringi oleh beberapa kenderaan 4x4 dari Tanah Merah menuju ke sempadan Kelantan Perak. Jarak perjalanan dari Tanah Merah ke Gerik dan seterusnya ke Pengkalan Hulu adalah sejauh 213 km.
Fiza singgah di Bukit Bunga dan sempat merasai buah salak, buah keranji serta kuih cakar ayam. Perjalanan ke Gerik akan melalui puncak Banjaran Titiwangsa, Tasik Banding dan Royal Belum yang menyajikan penorama yang sungguh indah.
Setibanya di di Pengkalan Hulu, mereka disambut meriah oleh pihak Majlis Daerah Pengkalan Hulu, Pejabat Daerah Pengkalan Hulu, pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu dan Tourism Perak.
Kemudian konvoi meneruskan misi menjelajah Thailand. Setelah melalui proses di Imigresen Malaysia dan Thailand, konvoi bergerak menuju ke Bandar Betong dalam hujan lebat. Majoriti penduduk Betong adalah beragama Islam dan berketurunan Melayu.
Ramai daripada masyarakat di situ boleh bercakap Bahasa Melayu. Suatu masa dulu Betong adalah markas Parti Komunis Malaya dan kini tinggalan komunis itu seperti kubu dan terowong menjadi tempat tarikan pelancong. Berikutnya konvoi dilepaskan oleh Datuk Bandar Betong menuju ke Krabi melalui Bandar Yala dan Patani.
Ekspedisi mereka tidak berakhir di situ. Episod seterusnya menjanjikan pelbagai tempat menarik yang pastinya membuat penonton semakin teruja. Saksikan pengakhiran ekspedisi Kelab 4X4 Ekstrem Tawau hanya di saluran TV1.
Pantas - Pacuan Tanpa Sempadan
Hari: Selasa & Rabu
Masa: 11.05 Pagi
Saluran: TV1
Pengacara: Fiza Saad
0 Comments