HBO Asia mengumumkan penglibatan aktor Jepun, Kazuki Kitamura (Godzilla: Final Wars, Kill Bill: Volumes 1 & 2) dan aktor Malaysia, Bront Palarae (HBO Asia’s Halfworlds Seasons 1 & 2, Satan’s Slave) dalam drama bersiri antologi seram Asal HBO Asia, FOLKLORE.
Penggambaran untuk drama bersiri enam episod yang berdurasi selama sejam ini telah pun bermula di beberapa lokasi di Asia. Siri ini bakal ditayangkan pada tahun ini di saluran HBO Asia, secara dalam talian dan menerusi on demand.
Siri yang dibangunkan oleh HBO Asia dan dihasilkan oleh Eric Khoo, pengarah filem dari Singapura yang pernah memenangi anugerah ini bakal ditayangkan di beberapa negara Asia seperti Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, Singapura dan Thailand. Setiap episod akan memaparkan kisah seram dan mitos dari negara-negara tersebut.
Diterajui oleh pengarah berbeza dari beberapa negara di Asia, siri ini bakal memberikan sentuhan berbeza kepada cerita seram Asia yang sedia ada. Setiap episod akan merungkai kisah-kisah masyarakat setempat dan pada masa yang sama mengetengahkan tema utama untuk keseluruhan drama ini.
Enam pengarah yang bakal mempersembahkan naskah mereka dalam FOLKLORE adalah Joko Anwar (Indonesia), Takumi Saitoh (Jepun), Lee Sang-Woo (Korea), Ho Yuhang (Malaysia), Eric Khoo (Singapura) dan Pen-Ek Ratanaruang (Thailand).
Setiap episod FOLKLORE akan dihasilkan dalam bahasa tempatan negara yang terlibat dan akan disertakan sekali sari kata Bahasa Inggeris dan bahasa tempatan (mengikut ketersediaan).
Memetik kenyataan CEO HBO Asia, Jonathan Spink,
“Penghasilan FOLKLORE adalah untuk mengetengahkan keunikan Asia yang kaya dengan budaya dan sejarahnya yang tersendiri.
Kami teruja untuk menyampaikan kisah-kisah mitos dan cereka dari Asia kepada penduduk di rantau ini dan di seluruh dunia.”
Aktor Jepun yang pernah membintangi beberapa filem Hollywood dan Jepun, Kazuki Kitamura, bakal memegang watak utama dalam episod untuk negara Jepun di bawah arahan Takumi Saitoh (Blank 13, Ramen Teh).
Kitamura berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa melalui filem Godzilla: Final Wars, Kill Bill: Vol. 1 dan Kill Bill: Vol. 2. Beliau juga pernah dianugerahkan Pelakon Pembantu Terbaik di Festival Filem Yokohama menerusi lakonannya dalam tiga buah filem iaitu Kyohansha, Minazuki dan Kanzen-naru Shiiku.
Episod untuk Malaysia akan diarahkan oleh Ho Yuhang (Rain Dogs, Mrs. K) dan akan diterajui oleh Bront Palarae. Merupakan nama yang tidak asing lagi di Malaysia dan Asia tenggara, Bront telah membintangi pelbagai drama dan siri komedi.
Antara filem lakonannya termasuklah filem komedi Sejoli, dua musim drama bersiri fantasi Asal HBO Asia, Halfworlds dan yang terbaharu, Satan’s Slave, filem seram terlaris di Indonesia untuk 2017. Beliau juga pernah menerima anugerah Pelakon Terbaik di Festival Filem Malaysia yang ke-23, Anugerah Astro Warna 2014 dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2015.
Produksi untuk FOLKLORE bermula dengan episod arahan Joko Anwar (Halfworlds, Satan’s Slave) yang menjalani penggambaran di Jakarta, diikuti dengan episod arahan Eric Khoo untuk Singapura (Ramen Teh, 12 Storeys) yang dirakam di Batam dan episod arahan Ho Yuhang untuk Malaysia.
Tiga lagi episod yang masih menjalani penggambaran adalah episod arahan Takumi Saitoh untuk Jepun, Pen-Ek Ratanaruang’s (Samui Song, Last Life in the Universe) untuk Thailand dan Lee Sang-Woo (Fire in Hell, Dirty Romance) untuk Korea Selatan. - 7KLIK
0 Comments