PEMENANG Anugerah Pereka Muda Asia 2017/18 yang baru dinobatkan di Persidangan Pereka Muda Asia 2017/18, Ng Wai How (Seni Bina) dan Shahmeena Labeeb (Reka Bentuk Dalaman) membuktikan mereka sememangnya berupaya mengubah masa depan dengan idea yang begitu kreatif.
Kedua-duanya memenangi hadiah wang tunai sebanyak USD5,000 setiap seorang. Persidangan tahunan ini menyaksikan kehadiran lebih 500 pelajar yang berbakat, juri, pakar industri dan para pensyarah. Ia merupakan suatu platform yang diiktiraf untuk mengasah bakat pereka-pereka muda dan membantu mereka meningkatkan pengetahuan dalam komuniti pakar industri terkenal dan rakan sebaya di seluruh Asia.
Dalam kategori Seni Bina, Ng Wai How yang kini sedang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam jurusan Seni Bina di Universiti Malaya memilih untuk memperingati jasa tokoh-tokoh negara. Idea beliau, War Museum - Extension of ‘Tugu Negara’ menampilkan galeri tematik yang menggunakan cahaya, bayang-bayang dan tekstur secara inovatif.
Kawasan yang dicadangkan yang terletak di bahagian bawah bukit juga membantu mengekalkan sebanyak mungkin landskap semulajadi tanpa mengganggu ciri-ciri tugu yang asal.
“Sejak dari kecil lagi saya merasakan tidak banyak kisah yang diceritakan di sebalik kemegahan Tugu Negara. Masa depan akan menjadi kurang bermakna jika kita lupa akan sejarah dan segala pengorbanan nenek moyang kita. Oleh itu, saya ingin membangkitkan semula kisah-kisah tentang tugu ini secara interaktif,” kata Ng.
“Menyertai Anugerah Pereka Muda Asia 2017 adalah keputusan terbaik dalam hidup saya sebagai seorang pelajar dan memenangi Anugerah Pereka Muda Asia 2017/18 telah meningkatkan semangat saya untuk mempraktikkan segala nasihat yang telah diberi oleh pakar-pakar bagi membawa perubahan dalam dunia seni bina hari ini.”
Dalam kategori Reka Bentuk Dalaman, Labeeb yang baru sahaja menamatkan pengajian dalam jurusan Seni Bina Dalaman di Taylor’s University, telah memilih isu kemerosotan jumlah populasi lebah madu di seluruh dunia sebagai ilham projeknya.
Dengan menggunakan kawasan terbiar di Kuala Lumpur sebagai tapak projek, beliau telah menggabungkan pokok buah-buahan dan sayuran yang mesra lebah dengan elemen rekaan yang diilhamkan oleh sarang lebah madu. Projek yang dinamakan Plan Bee – City Beekeeping boleh menghasilkan peluang pekerjaan kepada pengusaha madu dan pekebun, di samping menjual produk berasaskan madu di kedai dan cafe.
Labeeb berkata,
“Saya bersyukur para juri dapat melihat kesungguhan dan kreativiti di sebalik idea saya! Saya sememangnya bersemangat dengan apa yang saya lakukan. Plan Bee adalah projek tahun akhir saya dan pengalaman ini telah memperluaskan lagi pengetahuan saya sebagai seorang pereka.
Tambahan pula, penyelidikan yang meluas telah membolehkan saya mencipta rekaan yang dapat memberikan manfaat bagi manusia dan alam sekitar pada masa hadapan. Saya harap dapat memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar rekaan yang lain untuk bercita-cita tinggi dan berusaha untuk menggapai impian dan cita-cita mereka.”
Encik Wee Siew Kim, Ketua Pegawai Eksekutif, NIPSEA Group berkata,
“Di Nippon Paint, kami sentiasa menghargai inovasi, pengalaman dan kesanggupan untuk mencabar potensi diri yang juga merupakan semangat Anugerah Pereka Muda Asia. Bagi kami, tema ‘You for Tomorrow’ melambangkan masa depan bidang seni bina dan reka bentuk dalaman.
Kami berbangga dapat menyatukan bakat-bakat muda dan pakar-pakar yang hebat dari serantau Asia dalam gagasan setiakawan dan memberi peluang untuk saling mempelajari di antara satu sama lain dalam industri yang dinamik ini.”
Persidangan Pereka Muda Asia adalah kemuncak kepada Anugerah Pereka Muda Asia tahunan, di mana pemenang serantau dari 13 negara Asia iaitu Bangladesh, China dan rantau China termasuk Hong Kong dan Taiwan, India, Indonesia, Iran, Japan, Malaysia, Pakistan, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam berkumpul untuk mengikuti program pembelajaran intensif yang merangkumi lawatan sambil belajar, sesi latihan dan perkongsian oleh pakar-pakar industri terkenal selain bertanding dalam pertandingan peringkat akhir serantau untuk merebut gelaran berprestij ‘Pereka Muda Asia”.
Pada tahun ini, para pelajar amat bertuah kerana mendapat inspirasi dari ibu pejabat Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) yang telah menerima status platinum Index Bangunan Hijau, mercu tanda ikonik Malaysia Menara Berkembar Petronas, ruang industri kreatif APW yang telah diubahsuai semula serta tempat-tempat lain yang menarik di Malaysia.
Persidangan yang bertujuan untuk memupuk bakat pereka-pereka masa depan ini juga menyaksikan ramai pakar penceramah menghuraikan topik menyokong tema ‘You for Tomorrow’.
Mereka terdiri daripada Ar. Amit Gupta dan Ar. Britta Knobel Gupta, arkitek antarabangsa terkenal dan Pengasas Bersama Studio Symbiosis (India); Chu Chih-Kang, Pengasas dan Pengarah Rekaan di Chu Chih-Kang Space Design (Taiwan, Rantau China) yang menggabungkan elemen budaya Cina dengan konotasi budaya yang mendalam dalam rekaan komersial beliau.
Diikuti Dr. Kamran Afshar Naderi, Pengurus Cawangan Artelia Italia Company (Iran) yang juga profesor universiti tersohor dan pengasas majalah seni bina terkenal Memar; Nicholas Ho, pemenang anugerah dan Timbalan Pengarah Urusan syarikat arkitek hpa (Hong Kong, Rantau China) dan Rene Tan, Pengasas & Pengarah di RT+Q Architects (Singapura) dan penerima anugerah ‘Designer of The Year 2016’ Anugerah Reka Bentuk Presiden.
Untuk maklumat lanjut tentang Anugerah dan Persidangan Pereka Muda Asia, sila layari www.asiayoungdesigneraward.com . - 7KLIK
0 Comments