DRAMA menggambarkan realiti kehidupan. Ia bukan sahaja dapat dilihat menerusi kaca televisyen, malah turut mewarnai kehidupan seharian dan memberi impak kepada kita.
Menampilkan #MasaUntukDrama sebagai tema baharu untuk tahun 2018, Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) kini kembali buat kali kelima!
Menampilkan #MasaUntukDrama sebagai tema baharu untuk tahun 2018, Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) kini kembali buat kali kelima!
Masih mengekalkan objektif utamanya untuk mencungkil bakat-bakat baharu dan memberi peluang kepada anak-anak muda untuk menimba ilmu bersama para panel berpengalaman dalam industri drama, DFKL 2018 juga merupakan sebuah platform yang sesuai bagi anak-anak muda untuk mengasah bakat mereka.
Selepas empat tahun penganjuran, DFKL telah mencapai matlamatnya untuk melahirkan pelapis yang menjadi pemangkin dalam industri penyiaran. Sambutan dan sokongan padu daripada penggiat seni dan penonton sentiasa menjadi inspirasi kami untuk meneruskan kempen ini sehingga menjadikan DFKL sebuah acara tahunan.
Kelainan pada edisi tahun ini, DFKL 2018 menggabungkan empat buah stesen dari Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad iaitu TV3, ntv7, 8TV dan TV9 untuk menjayakan kempen ini sejak 1 Disember 2017 dengan harapan dapat menerima penyertaan dari semua lapisan masyarakat.
Menampilkan Syazuwan Hassan dan Pauline Tan sebagai duta, DFKL tahun ini juga disertai oleh Jason Chong dan Jason Kok sebagai panel yang akan berkongsi ilmu mengenai pengarahan dan pembikinan filem di bengkel DFKL 2018. Turut menyertai mereka sebagai panel adalah 6 lagi karyawan hebat iaitu Fauziah Ahmad Daud, Eirma Fatima, Datin Diana Danielle, Fasha Sandha, Sheila Rusly, dan Shahrulezad.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Encik Johan Ishak,
“Segala peristiwa yang berlaku mencorakkan perjalanan hidup setiap individu, keluarga, mahupun masyarakat. Ia seakan-akan sedang menyaksikan drama-drama kehidupan manusia yang merangkumi pelbagai ragam beraksi di kaca televisyen.
Oleh itu, Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) yang sentiasa tampil dengan tema berbeza pada setiap tahun telah mengambil inisiatif untuk memilih #MasaUntukDrama sebagai tema buat tahun 2018.
“Ini juga merupakan peluang keemasan kepada semua golongan untuk menunjukkan bakat terpendam mereka.
Kami amat mengalu-alukan para peserta yang ingin mengekspresikan imaginasi dan kreativiti masing-masing untuk mengambil bahagian dalam pertandingan dianjurkan, serta menyertai bengkel-bengkel bersama panel berpengalaman dalam industri seni tanah air untuk memberi bimbingan dan berkongsi ilmu.
Insya Allah, DFKL yang dianjurkan untuk kali kelima ini akan mendapat respon yang positif seperti sebelum ini, serta mampu mewarnai industri penyiaran dan menghasilkan suatu karya yang disukai oleh semua lapisan masyarakat,” ujar Encik Johan lagi.
Komponen utama DFKL masih lagi mengekalkan penyertaan untuk pertandingan drama pendek peringkat awam dan sekolah menengah, pertandingan sesi kongsi (pembentangan idea), bengkel dan ujibakat lakonan.
Bagi menyemarakkan lagi DFKL 2018, orang ramai turut berpeluang untuk menyertai siri jerayawara DFKL yang bakal diadakan di dua lokasi berbeza bermula pada bulan Februari dan Mac 2018.
Malam Anugerah DFKL 2018 merupakan kemuncak pengajuran kempen yang memartabatkan industri lakonan tanah air.
Malam pengiktirafan buat para pelakon, pengarah, penulis skrip dan drama pilihan penonton ini turut mempertandingkan 11 kategori iaitu Aktor Pilihan, Aktres Pilihan, Antagonis Pilihan, Pengarah Pilihan, Penulisan Skrip Pilihan, Lagu/OST Pilihan, Pasangan Pilihan, Drama Pilihan, dan Drama Pilihan tonton VIP, Drama Radio Pilihan dan Drama Pendek Pilihan.
Bagi para peminat yang ingin melihat idola kesayangan mereka meraih kemenangan, boleh membuat undian bagi menentukan barisan pemenang untuk 9 kategori tersebut bermula 1 Februari hingga 1 Mac 2018 di laman web rasmi DFKL 2018 iaitu www.dfkl.com.my.
Hanya 10 kali undian sahaja yang boleh dibuat setiap hari, di mana undian-undian yang diterima akan dikemaskini setiap dua jam untuk setiap hari.
Untuk maklumat lanjut mengenai DFKL 2018, anda boleh layari laman web rasmi www.dfkl.com.my . - 7KLIK
0 Comments