Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Bukan hanya pelakon hebat, Zaidi Omar tampil sebagai hos


TRAVELOG terbaru 'Terkesan di Hati' disiarkan RTM berkonsepkan pengembaraan yang memfokuskan kepada tempat-tempat bersejarah yang menjadi warisan rakyat Malaysia menjadi tarikan penonton saluran TV1.

Menampilkan gandingan pengacara Zaidi Omar dan Akid Tay, 13 episod travelog ini menemui penonton mulai 2 Februari ini, setiap Jumaat, pukul 4.30 petang di TV1. Menariknya setiap minggu menonjolkan individu yang terlibat iaitu seorang ayah bersama anak lelakinya akan berkunjung ke lokasi yang berbeza dalam setiap episod bagi mengupas lanjut tentang sejarah di situ. 

Mereka akan bertukar pendapat bagi membincangkan tentang sejarah dan lokasi yang mereka lawati. Selain itu, temu bual dilakukan dengan individu-individu tertentu untuk berkongsi maklumat dengan penonton serta paparan warisan sejarah yang wujud di lokasi tersebut.

Haji Salim dan anaknya Husin berhasrat untuk meninjau hasil peninggalan warisan sejarah yang terdapat di Pulau Jerejak, Pulau Pinang. Ianya dikenali sebagai ‘Alcatraz Malaysia’ kerana terkenal dengan penjara yang menempatkan banduan-banduan selepas tragedi 13 Mei 1969 serta tahanan ISA. Sebelum itu, pihak British menggunakan Pulau Jerejak sebagai pusat kuarantin pendatang asing yang mengalami penyakit kusta dan batuk kering. 

Haji Salim bertemu dengan Dato’ L Ramlee yang dulunya bekerja sebagai Pembantu Hospital Pulau Jerejak untuk mendapatkan maklumat lanjut. Dato’ L Ramlee membawa mereka menaiki bot ke Pulau Jerejak dan bertemu dengan En. Faizal, Penolong Pengurus Pulau Jerejak Rainforest Resort. 

Faizal membawa mereka menjelajah beberapa tempat bersejarah termasuklah blok penjara yang menempatkan para banduan serta tugu peringatan yang dibina di situ. Selepas kejadian rusuhan para banduan, Pulau Jerejak telah ditutup secara berperingkat mulai tahun 1990 dan berakhir pada tahun 1993.

Kemudiannya kunjungan ke Kg. Lindungan Raja, Haji Salim dan Husin berkunjung ke Sedim, Kulim, Kedah. Mereka ke sebuah kawasan perkampungan yang dinamakan Kg. Lindungan Raja yang merupakan antara sejarah penting negeri Kedah. 

Tempat yang mereka lawati merupakan sebuah rumah yang menjadi penempatan sementara dan juga tempat perlindungan oleh Sultan Abdul Hamid Halim Shah bersama Kerabat Diraja selama 8 hari pada tahun 1941 semasa pendudukan pihak Jepun di Tanah Melayu. 

Wawancara dijalankan bersama beberapa orang individu antaranya Dato’ Dr Wan Shamsudin yang merupakan Tokoh Sejarah Kedah, En. Hussein Idris iaitu penjaga rumah Kg. Lindungan Raja dan individu lain yang berkaitan. 

Antara yang dipaparkan ialah keadaan di dalam rumah tersebut dan sungai tempat Tuanku Sultan dan Kerabat Diraja bersiram. Kemudian mereka melawat Tree Top Walk Sedim yang merupakan jambatan titi gantung yang terpanjang di dunia bagi melihat pemandangan hutan bersama air terjun yang terkenal sebagai tempat pelancongan.

Haji Salim membawa Husin ke negeri Perlis Indera Kayangan melawat satu lagi tempat bersejarah iaitu Kota Kayang. Kota Kayang merupakan sebuah kota pada zaman Sultan Kedah ke-15 dari tahun 1661 – 1687. 

Ia juga dikenali sebagai Istana Merbau sempena pembuatan istana tersebut yang menggunakan kayu merbau. Muzium Kota Kayang mempamerkan pelbagai penemuan peninggalan artifak yang wujud di kawasan tersebut, antaranya pinggan seramik dan tanah liat, 3 buah makam Diraja, tembok Kota Kayang serta sebuah perigi. 

Haji Salim juga mewawancara seorang Tokoh Budaya & Bahasa Perlis, En. Rejab F.I serta Penolong Muzium Kota Kayang bagi mendapat maklumat yang lebih terperinci. Rancangan diakhiri dengan penerokaan ke Bukit Kubu oleh Haji Salim dan Husin yang merupakan sebuah bukit pelindung dan tempat persembunyian Kerabat Diraja ketika mereka diserang oleh kerajaan Bugis suatu ketika dahulu.

Dalam episod berikutnya mereka berkunjung ke lokasi berkaitan dengan warisan kesultanan iaitu di Jugra. Mereka berkunjung ke Istana Bandar yang dibina oleh Sultan Alaeddin Sulaiman Shah pada tahun 1899. Istana ini juga dikenali sebagai Istana Alaeddin, Istana Temasya dan Istana 40 Bilik. 

Ia dibina dengan gabungan seni bina yang mempunyai unsur Melayu, Cina, India dan Eropah. Temu ramah dilakukan bersama Dato’ Ibrahim Ghaffar yang merupakan Tokoh Warisan Sejarah Selangor yang mengupas lanjut tentang isu tersebut. Mereka juga mengunjungi Rumah Api Jugra yang menjadi ikon yang popular di kalangan pelancong. 

Selain itu, mereka juga melawat Muzium Insitu Jugra yang dikenali sebagai rumah pasung dan melihat barang artifak yang dijumpai semasa proses ekskavasi. Makam Sultan Abdul Samad merupakan lokasi terakhir yang menutup episod rancangan kali ini.

Lokasi yang dipilih dalam episod kali ini ialah di Kompleks Sejarah Pasir Salak, Perak yang dibina pada tahun 1990. Haji Salim teruja untuk berkongsi maklumat tentang maruah dan kehebatan ketuanan Melayu bersama anaknya Husin berkaitan tragedi Pasir Salak. 

Individu yang terlibat ialah Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Sagor, Si Puntum dan J.W.W Birch. Wawancara dilakukan bersama Hj. Ramli Bin Ngah Mat Ali, keturunan Dato’ Sagor yang ke-4 dan juga Cikgu Abdul Aziz, keturunan Dato’ Maharaja Lela untuk maklumat lanjut. 

Mereka berjuang menentang Birch yang mencabar maruah Melayu pada waktu itu dan Si Puntum bertindak membunuh Birch. Pihak British berjaya menangkap mereka dan dijatuhkan hukuman gantung. 

Antara paparan lain di kompleks tersebut ialah maklumat semasa pendudukan British di Pasir Salak, tragedi Pasir Salak dan tinggalan Meriam Rentaka yang merupakan satu lambang kehebatan meriam buatan orang Melayu ketika itu.

Terkesan Di Hati episod 6 di Bukit Larut pula mereka berkunjung ke Taiping, Perak bagi meninjau bandar yang terkenal dengan nama ‘Bandar Warisan’ yang mempunyai 31 catatan subjek ‘Yang Tertua di Malaysia’. 

Mereka berkunjung ke Muzium Perak di Taiping bagi mendapatkan maklumat lanjut. Seterusnya, Haji Salim menaiki sebuah jip ke Bukit Larut yang terkenal dengan warisan sejarah semasa pendudukan British. Beliau bertemu dengan En. Roslee Ahmad Rafie, Pengurus Pusat Peranginan Bukit Larut dan En. T Funa, seorang Nature Guide Bukit Larut untuk maklumat lanjut. 

Mereka melawat beberapa buah banglo, rumah rehat, Pusat Biologi Bukit Larut, Tugu Peringatan T.W.W Birch dan Rumah Mr. Maxwell yang kini dijadikan pejabat Telekom Malaysia. Selepas turun dari Bukit Larut, mereka melawat pekan Port Weld (kini Kuala Sepetang), Taman Tasik Taiping dan Stesen Keretapi Taiping. Husin berpuas hati kerana banyak maklumat tentang warisan sejarah diperolehi beliau di lokasi tersebut.



Travelog Terkesan Di Hati
Episod: 13
Hari: Isnin
Masa: 4.30 Petang
Saluran: TV1 
Pengacara: Zaidi Omar

Post a Comment

0 Comments