Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Chef Wan dekati ibu tunggal berjaya


BERTEMAKAN ketabahan dan kegigihan ibu tunggal dalam meneruskan kehidupan dan memberi kebahagiaan kepada anak-anak mereka, program terbaharu dihoskan oleh cef dan selebriti terkenal iaitu Datuk Chef Wan akan menyelongkar kehidupan golongan wanita berstatus ibu tunggal dan balu. 

Chef Wan bertandang ke rumah tetamu undangan dan menemu ramah mereka tentang perkara-perkara yang memberi kekuatan kepada mereka. Tetamu tersebut juga dikehendaki untuk memasak masakan yang diminati oleh anak-anak mereka dan Chef Wan juga akan menyediakan satu hidangan untuk tetamu dan anak-anak.

Menerusi program bertajuk Air Tangan Ibu Bersama Chef Wan, yang disiarkan sebanyak 13 episod ini bakal membawa penonton antaranya  berkunjung ke rumah Puan Marriam Yusuf Abdullah, seorang ibu tunggal yang begitu berjaya menceburi bermacam-macam jenis perniagaan termasuklah pengurusan acara dan katering. 

Chef Wan menemu ramah Puan Marriam tentang kehidupan dan pengalaman beliau dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. 

Puan Marriam yang merupakan pakar bagi masakan rendang telah menunjukkan cara-cara memasak Rendang Daging Sarawak, masakan kegemaran anak-anak beliau. Berikutnya Chef Wan pula yang menunjukkan cara-cara menyediakan masakan Pindang Daging. Selesai memasak mereka sama-sama menikmati masakan tersebut.




Menerusi episod seterusnya, Chef Wan telah ke Sabak Bernam, Selangor menemui Puan Sukinah Abdullah, seorang ibu tunggal yang telah berjaya membesarkan lapan orang anak-anaknya dengan cemerlangnya. 

Kesemua anak-anaknya berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti dan menjawat berbagai-bagai jawatan seperti saintis dan jurutera. Puan Sukinah melakukan bermacam-macam pekerjaan untuk membesarkan anak-anak selepas kematian suaminya. 

Puan Sukinah menunjukkan cara-cara memasak Ikan Keli Bakar Masak Kencur, masakan kegemaran anak-anak beliau. Sementara itu Chef Wan pula menunjukkan cara menyediakan Burger Morocco. 

Penonton turut dibawa oleh Chef Wan ke rumah Cikgu Norshamsiah Maarof di Masjid Tanah, Melaka. Bekas Guru Besar yang juga merupakan kawan sekelas kepada Chef Wan semasa di Tingkatan Satu hingga Lima di Masjid Tanah. 

Cikgu Shamsiah mempunyai lima orang anak dan berpisah dengan suaminya sejak sepuluh tahun lalu. Beliau baru kehilangan anak bongsunya yang berusia 21 tahun kerana menghidap penyakit leukemia. 

Cikgu Shamsiah menyediakan Kerutup Ikan Siakap. Chef Wan pula memasak ‘Buttered Chicken’, sejenis masakan yang berasal dari India Utara dan sangat terkenal pada zaman Empayar Mongul. 




Menerusi episod seterusnya, Chef Wan telah ke Taman Ukay Bistari, Ampang, Selangor bertemu Puan Dzuriasikim Dzulkefli, ibu tunggal yang telah membesarkan lima orang anaknya sendiri. Puan Zu telah berpisah dengan suaminya lebih dari empat tahun lepas setelah mendirikan rumah tangga selama 20 tahun. 

Puan Zu yang berkerjaya tetap dan membuat perniagaan sampingan mengakui memang ada diskriminasi terhadap mereka yang bergelar ibu tunggal dalam kehidupan mereka. 

Dalam episod ini Puan Zu menunjukkan cara-cara memasak Daging Goreng Garam Kunyit manakala Chef Wan pula menyediakan Mi Rebus Udang. 

Seterusnya Chef Wan ke ‘Elda Farmhouse’ di Semenyih, Selangor menemui Puan Noraidah Lembang yang menjalankan restoran dan rumah penginapan di sini merupakan seorang ibu tunggal kepada 7 orang anak. 

Beliau juga sudah memiliki 5 orang cucu. Beliau berpisah dengan suaminya sejak 17 tahun lalu selepas menjalani perkahwinan selama 25 tahun. 

Di program ini Kak Idah telah menyediakan sejenis masakan yang ringkas tetapi menjadi ‘signature dish’ di restoran beliau iaitu Ikan Siakap Goreng Bawang Putih. Chef Wan pula menyediakan masakan yang dinamakan Gulai Ikan Keli Thai. 




Menerusi episod berikutnya Chef Wan ke Bukit Antarabangsa, Ulu Klang, Selangor menemui Puan Nikella Niksen seorang ibu tunggal berketurunan Arab dan berasal dari Kelantan. Beliau mempunyai tiga orang anak iaitu dua orang lelaki dan seorang perempuan. 

Nikella telah berpisah secara rasmi dengan suaminya sejak 3 tahun lalu. Nikella merupakan seorang ahli perniagaan dan juga tukang masak yang hebat. 

Dalam episod ini beliau menunjukkan cara-cara memasak Nasi Arab Kabsa, resepi yang dikatakan berasal dari Yemen. Sementara itu Chef Wan pula menunjukkan cara menyediakan sejenis masakan tradisional orang Betawi iaitu Ayam Penchok. 

Dalam episod berikutnya Chef Wan telah berkunjung ke rumah Puan Satifah Ismail di Kampung Meru, Klang, Selangor. Kak Pah adalah seorang ibu tunggal yang telah kematian suaminya sejak 22 tahun lalu. 

Walaupun ibu tunggal yang terpaksa melakukan berbagai-bagai pekerjaan untuk membesarkan anak-anaknya namun kesemua mereka berjaya dalam pelajaran. Mereka semua adalah lepasan UiTM dalam pelbagai bidang dan dua daripadanya telah pun berkahwin. 

Kali ini Kak Pah memilih untuk memasak Ayam Ungep, sejenis masakan tradisional Jawa yang menjadi kegemaran anak-anak beliau. Berikutnya Chef Wan menyediakan Sup Ekor gaya Chef Wan yang begitu menyelerakan. 



Air Tangan Ibu Bersama Chef Wan
Episod: 13
Hari: Rabu
Masa: 3.00 Petang
Saluran: TV2 
Pengacara: Chef Wan

Post a Comment

0 Comments