TIADA siapa menyangka tengkujuh 2014 meninggalkan titik hitam dalam sejarah, sebagai banjir terburuk pernah berlaku di Malaysia. Amaran ‘basi' tentang kehadiran hujan lebat setiap musim Monsun Timur Laut tiba disambut hambar oleh majoriti penduduk negeri negeri Pantai Timur.
Mereka sudah lalu dan terbiasa dengan fenomena banjir yang pasti terjadi setiap kali Monson Timur Laut membadai. Namun tanpa diduga paras air sungai dan tali air naik mendadak. Pesta mandi manda kanak kanak terencat. Para petani mula resah. Banyak aktiviti pertanian tergendala.
Penduduk di kawasan yang biasa dilanda banjir memang sudah bersedia. Mereka menyelamatkan barang barang berharga ke tempat yang lebih tinggi dan selamat agar tidak terkena air jika banjir berlaku.
Kerajaan mentaksirkan kerosakan infrastruktur akibat banjir ini adalah RM2.851 billion ringgit. Kelantan mencatatkan mangsa tertinggi iaitu 210 585 orang. Pahang kedua dengan jumlah mangsa 100690 orang. Manakala Terengganu adalah 62909 orang.
Mengupas secara terperinci peristiwa peristiwa getir yang berlaku ketika peristiwa banjir terburuk yang pernah direkodkan di dalam sejarah negara, RTM berkongsi menyiarkan dokudrama Kelodak Dari Langit.
Menerusi enam episod disiarkan, penonton dapat berkongsi secara langsung dengan mangsa dan mereka yang terlibat di dalam operasi menyelamat di mana mangsa yang menghadapi saat getir antara hidup dan mati ketika terperangkap dalam banjir.
Mereka terpaksa bersabung nyawa untuk menyelamatkan orang yang tersayang. Para pasukan penyelamat yang bersabung nyawa untuk menyelamatkan mangsa. Individu-individu yang pemurah dan mempunyai 'hati emas' datang dari seluruh pelosok negara.
Turut di ketengahkan kisah daerah Manek Urai, Kelantan bermandi lumpur juga mangsa yang bangkit semula selepas banjir samada dari aspek kehidupan mahupun perniagaan. Tidak terkecuali kisah cinta yang benar benar berlaku ketika banjir.
Ikuti episod berikutnya pada ketetapan tarikh berikut:-
- Runtuhnya Jambatan Tugu Cinta (27 Januari 2017)
Mengisahkan Normah yang menyaksikan jambatan Sungai Nenggiri runtuh, jambatan yang menyimpan memori terindah dalam hidup Normah. Dia bertemu jodoh dengan suaminya semasa pembinaan jambatan tersebut. Suaminya yang bertugas sebagai juru ukur projek jambatan ketika itu, mereka berkenalan dan akhirnya bernikah. Hikmah di sebalik runtuhnya jambatan itu membolehkan pengusaha bot mencari pendapatan lebih dengan membawa penumpang berulang-alik melalui sungai Nenggiri.
- Sudah Jatuh Ditimpa Tangga (3 Februari 2017)
Mengisahkan dua orang peniaga di Bazar Haji Ibrahim iaitu Rohani dan Kamarohzaman yang mengalami kerugian akibat banjir di Kelantan. Barang perniagaan mereka seperti toto, tilam dan sebagainya basah dan hanyut dibawa arus banjir. Segala barangan mereka dilelong setelah air banjir surut. Malang tidak berbau stor barang kepunyaan Rohani terbakar dan merebak ke semua lot kedai. Keadaan huru hara tetapi ada yang mengambil kesempatan untuk mencuri barang-barang mereka semasa kejadian tersebut. Dipaparkan juga semangat para peniaga di Bazar Hj Ibrahim untuk bangkit semula selepas kejadian tersebut.
- Diambang Kiamat (10 Februari 2017)
Mengisahkan kejadian banjir yang berlaku di Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling, Jerantut Pahang yang memusnahkan banyak tempat tinggal dan hasil ekonomi penduduk di situ. Rozali, Abu dan Haza merupakan antara mangsa yang kehilangan tempat tinggal disebabkan banjir 2014. Chalet Azran turut musnah ditenggelami banjir. Keadaan Kampung Kuala Sat ketika hari kejadian sangat gelap dan hujan tidak berhenti-henti hingga menyebabkan ramai merasakan seperti sudah hampir hari kiamat. Namun begitu semangat mangsa-mangsa banjir ini untuk bangkit semula amat kuat.
- Hak Cipta Monsun 2014 (17 Februari 2017)
Kuala Krai dikejutkan dengan fenomena hujan batu dan cuaca sejuk luar biasa yang sebenarnya merupakan petanda awal malapetaka banjir air kuning 2014. Pada episod ini memaparkan kisah Nawawi seorang pesara dan peniaga kedai runcit hilang punca pencarian apabila kedai dan rumahnya musnah dihanyut banjir. Hasil usaha Nawawi mengumpul wang selama 15 tahun untuk membina mahligai mereka sekeluarga, hilang dalam sekelip mata. Air Sungai Nenggiri juga telah merobohkan jambatan KTM Kemubu yang merupakan jalan penghubung antara dua kampung.
- Jerangkap Samar Dua Arus (24 Februari 2017)
Mengisahkan Zainudin, penduduk di Kampung Pagi, Hulu Tembeling yang kehilangan rumah dihanyutkan oleh banjir 2014. Juga mengisahkan tentang bangunan tiga tingkat Sekolah Kebangsaan Kampung Pagi ditenggelami air. Abdul Razak yang merupakan penyelia asrama di sekolah itu bertungkus-lumus cuba menyelamatkan semua barang sekolah tetapi kecewa kerana usahanya sia-sia.
- Bidan Terjun (3 Mac 2017)
Mengisahkan tentang tiga orang anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang menyambut kelahiran bayi di dalam lori semasa banjir di Kota Bharu. Aida bertindak menyambut kelahiran bayi manakala Akma menenangkan mangsa yang dalam kesakitan. Asma pula bertindak menenangkan mangsa banjir yang turut berada di dalam lori tersebut. Akhirnya bayi dapat diselamatkan kerana kesungguhan mereka.
- Pasir Mas Dan Kota Bharu Bercerita (10 Mac 2017)
Mengisahkan Suzi yang tak menyangka tempat tinggalnya di Pasir Mas akan ditenggelami banjir. Dia menceritakan pengalaman tinggal di pusat pemindahan banjir dan perasaannya semasa terpisah dengan ibunya dalam kejadian tersebut. Episod ini turut memaparkan kisah Rubiah Ahmad, seorang lagi pengusaha salon yang menyesal kerana tidak mendengar nasihat anaknya hingga menyebabkan kerugian besar disebabkan banjir air kuning 2014. Namun Rubiah bangkit dengan cepat untuk memulihkan kedainya dan meneruskan perniagaan salonnya.
- Episod Akhir - Bertahan Di Kuala Tahan (17 Mac 2017)
Mengisahkan Mat Leon seorang pengusaha chalet dan isterinya Ana yang bersama-sama mengharungi ancaman banjir. Walaupun chalet yang menjadi punca rezeki mereka mengalami kerosakan yang teruk akibat banjir namun semangat Mat Leon tetap kuat untuk meneruskan perniagaannya dengan usaha sendiri tanpa mengharapkan bantuan sesiapa.
Kelodak Dari Langit
Episod: 13
Hari: Jumaat
Masa: 7.30 malam
Saluran: TV1
0 Comments